Lionel Messi dilaporkan mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dan presidennya, Claudio ‘Chiqui’ Tapia berhubung penggunaan nama serta imejnya bagi tujuan komersial tanpa kebenaran.
Menurut laporan A24, kapten Argentina itu telah menghantar notis undang-undang kepada Tapia dan AFA bagi menuntut mereka menghentikan penggunaan identitinya dalam sebarang kempen komersial tanpa kebenaran terlebih dahulu.
Bagaimanapun, isu berkenaan dipercayai bukan sekadar berkaitan hak penggunaan imej. Sebaliknya, terdapat beberapa perkara lain yang dikatakan menjadi punca ketegangan antara Messi dan badan induk bola sepak Argentina itu.
Antaranya ialah dakwaan pelanggaran kontrak membabitkan dua perlawanan persahabatan skuad kebangsaan Argentina.
Selain itu, penggunaan imej Messi dalam kempen promosi sebuah jenama bir Argentina turut mencetuskan pertikaian.
Ini kerana Messi dilaporkan mempunyai perjanjian eksklusif dengan sebuah jenama bir dari Amerika Syarikat yang merupakan pesaing kepada jenama berkenaan.
Menurut laporan sama, keluarga Messi dikatakan menganggap Tapia bertanggungjawab terhadap beberapa isu tersebut kerana ia telah menimbulkan komplikasi dari sudut komersial kepada pemain berkenaan.
🚨 𝗕𝗥𝗘𝗔𝗞𝗜𝗡𝗚: Lionel Messi has sent a formal legal notice to Claudio “Chiqui” Tapia and the AFA, demanding they stop using his name and image commercially without his permission!
Messi is FURIOUS after disputes involving the federation dragged his name into controversy.… pic.twitter.com/b8oIZ506gb
— The Touchline | 𝐓 (@TouchlineX) November 17, 2026
Perkembangan ini hadir ketika hubungan antara Messi dengan AFA dilihat melalui fasa yang sensitif.
Messi sebelum ini merupakan figura utama dalam kejayaan Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 dan dua edisi Copa America.
Namun, pertikaian berkaitan hak komersial dan urusan kontrak ini kini dilaporkan mencetuskan ketegangan baharu antara pemain berusia 39 tahun itu dengan kepimpinan AFA.