Bintang Argentina, Lionel Messi masih belum memberi kata putus sama ada akan menyertai Piala Dunia 2026 ketika juara bertahan itu bersiap sedia untuk mempertahankan trofi yang dimenangi penuh dramatik di Qatar dua tahun lalu.
Walaupun ramai peminat berharap dapat menyaksikan keajaiban terakhir Messi di pentas dunia, kapten legenda itu memilih untuk menilai keadaannya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.
Baca Juga:
- Cristiano Ronaldo, Lionel Messi Terus Pecahkan Rekod Dunia

- Lalas Kecam Messi Tak Sertai Aksi All-Star: ‘Dia Macam Orang Suci Menentang Kejahatan MLS’
- Inter Miami Bengang Messi Digantung Atas Alasan Tidak Masuk Akal

Messi Masih Berteka-Teki
“Ia sesuatu yang istimewa untuk menjadi sebahagian daripada Piala Dunia. Saya mahu berada di sana, berasa cergas dan menjadi sebahagian penting dalam membantu pasukan saya jika saya turut serta,” ujar Messi menurut sumber laporan Goal.
“Saya akan menilai perkara itu dari hari ke hari apabila memulakan pra-musim tahun depan bersama Inter Miami dan melihat sama ada saya benar-benar berada pada tahap 100 peratus.”’
“Sama ada saya boleh memberikan sumbangan berguna kepada pasukan. Selepas itu barulah saya akan membuat keputusan.”
“Sudah tentu saya sangat teruja kerana ia adalah Piala Dunia. Kami baru sahaja memenanginya dan peluang untuk mempertahankannya sekali lagi di atas padang pastinya sesuatu yang luar biasa kerana bermain untuk pasukan kebangsaan, terutama di kejohanan paling berprestij dunia sentiasa menjadi impian saya.”
Bagi Messi, keputusan sama ada untuk terus berjuang di pentas tertinggi bukan sekadar soal usia, tetapi soal kemampuan sebenar untuk terus memberi sumbangan kepada pasukan negaranya.
Apa pun keputusannya nanti, nama Lionel Messi sudah pun terpahat sebagai legenda abadi bola sepak dunia dan jika Piala Dunia 2022 menjadi pentas terakhirnya, ia adalah pengakhiran yang hampir sempurna buat karier seorang maestro bola sepak.