Lionel Messi bakal menutup kariernya bersama skuad kebangsaan Argentina dengan satu jersi khas yang cukup istimewa.

Pemain berusia 39 tahun itu mendedahkan reka bentuk jersi yang akan dipakainya ketika Argentina berdepan Benin dalam aksi persahabatan di Estadio Monumental pada 6 Oktober depan.

Jersi tersebut mengekalkan warna ikonik biru muda dan putih Argentina, namun tampil dengan beberapa sentuhan istimewa bagi meraikan penampilan terakhir Messi bersama negaranya.

Nombor 10 dan nama MESSI di bahagian belakang menggunakan warna emas.

Turut kelihatan simbol Matahari Mei atau Sol de Mayo pada bahagian belakang jersi, manakala beberapa bahagian seperti kolar dan lengan turut diberikan kemasan emas.

Messi berkongsi video jersi tersebut menerusi Instagram dengan kapsyen ringkas tetapi cukup bermakna.

“Último partido… Una camiseta para toda la vida.”

Maksudnya, “Perlawanan terakhir… Satu jersi untuk sepanjang hayat.”

Perlawanan menentang Benin itu dijangka menjadi malam penuh emosi buat Messi dan penyokong Argentina selepas lebih dua dekad dia mewakili La Albiceleste.

Messi merupakan pemain dengan jumlah penampilan dan jaringan terbanyak dalam sejarah Argentina. Dia turut menjadi tonggak utama ketika Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 serta dua edisi Copa América.

CONMEBOL
Kredit Foto: REUTERS/Carl Recine/File Photo

Menariknya, Messi tidak akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan Argentina sebelum itu menentang Bolivia pada 30 September dan Burkina Faso pada 3 Oktober.

Jadi, 6 Oktober nanti akan menjadi pentas terakhir untuk peminat Argentina menyaksikan pemilik jersi nombor 10 itu menyarung jersi La Albiceleste.