Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) telah menggunakan budi bicara mereka untuk mempertimbangkan semula keputusan yang diambil pada 24 Jun 2024 ke atas Selangor FC.

Keputusan asal tersebut diambil selepas kelab berkenaan tidak hadir ke Perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024.

Baca Juga:

Pertimbangan semula ini dibuat sebagai tanda penghormatan kepada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Berikut adalah keputusan-keputusan yang telah diumumkan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL:

1) Denda yang dikenakan ke atas Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000.

2) Bayaran pampasan untuk kerugian yang ditanggung oleh pasukan tuan rumah JDT dan MFL tetap dikekalkan.

MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

3) Pemotongan tiga (3) mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dibatalkan. Walau bagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas boleh dikenakan.

4) Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga dibatalkan.

Penonton kini dibenarkan untuk menghadiri perlawanan tersebut.

Tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tiga (3) hari daripada tarikh surat ini (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.