Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan pindaan jadual perlawanan Liga Super melibatkan aksi Selangor FC (SFC) menentang Terengganu FC (TFC) yang sepatutnya berlangsung pada 21 September ini.

Menurut kemaskini terbaharu, perlawanan itu telah ditunda ke tarikh baharu iaitu 28 September selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua pasukan.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Pindaan jadual ini dibuat kerana Selangor bakal mengharungi aksi pertama AFC Champions League Two (ACL2) menentang jaguh Thailand, Muangthong United di Bangkok pada 19 September.

“Seperti makluman semua, Selangor FC akan mewakili negara dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 dimana perlawanan pertama akan berlangsung pada 19 September 2024 menentang kelab dari Thailand.

“Pihak Selangor FC telah memohon untuk penangguhan perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC kerana tidak mempunyai hari rehat selepas perlawanan menentang Muangthong United di Bangkok, melalui perjalaan Bangkok-KLIA-Kuala Terengganu pada 20 September dan seterusnya menentang Terengganu pada 21 September,” kata SFC dalam satu kenyataan rasmi. 

ACL 2 kali ini melibatkan 32 kelab di Asia yang menawarkan wang tunai sebanyak AS$3.28 Juta untuk juara manakala naib juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak USD1.78 Juta.

32 pasukan ini akan diundi dalam 8 kumpulan dengan setiap kumpulan ada 4 pasukan. Kelab dari asia barat akan berada dalam kumpulan A hingga D manakala kelab dari asia timur di kumpulan E hingga H.

Selangor diundi dalam kumpulan H bersama kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors, Muangthong United serta wakil Filipina, Dynamic Herb Cebu FC.

 

Aksi peringkat liga yang melibatkan 6 perlawanan bagi setiap kumpulan akan berlangsung dari 17-19 September 2024 hingga 3-5 Disember 2024.