Masalah melibatkan penggunaan Video Assistant Referee (VAR) pada aksi pembukaan Liga Super Malaysia 2024/25 sudah dijangka oleh badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL).

Seperti yang dapat disaksikan, teknologi baharu dalam kancah bola sepak Malaysia itu tidak dapat digunakan di Stadium Temerloh (Sri Pahang lawan Kelantan United) dan Stadium Likas (Sabah lawan Penang) berikutan masalah teknikal dihadapi pada saat-saat akhir.

Baca Juga:

Sedar dengan permasalahan yang bakal dan sedan dihadapi, perkara tersebut telah diakui sendiri oleh Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

Beliau turut mendedahkan bahawa telah dimaklumkan kemungkinan akan terjadi perkara tidak diingini berhubung penggunaan VAR pada minggu pertama ini.

“Ada kesilapan teknikal di sana. Dia (masalah teknikal VAR) memang kita dah agak, perkara ini tak berlaku masa kita buat pra-musim VAR tempoh hari, tapi dia berlaku bila liga berjalan.”

“Jadi itu pun (masalah VAR) sudah dinyatakan Datuk Stuart Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif MFL) peringkat awal bahawa ada kemungkinan berlaku perkara aspek teknikal dan sebagainya.

“Dan akhirnya ia berlaku semasa di Temerloh dan juga dekat Sabah,” ujar Ab Ghani menurut sumber laporan My Metro.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengambil maklum rungutan daripada pelbagai pihak berhubung masalah melibatkan VAR.

Selain itu, Ab Ghani menegaskan pihaknya akan cuba untuk memperbaiki masalah-masalah yang dihadapi bagi melancarkan pelaksanaan teknologi tersebut.

 

Sumber