Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil mempertahankan presidennya, Tan Sri Norza Zakaria yang dituduh mengambil kesempatan membawa keluarganya bercuti ke Paris dengan peruntukan daripada kerajaan.

Sebelum ini Norza menyatakan bahawa dia ada kuota khas untuk membawa tetamu bersamanya ke Paris.

HYPE
Sempena MAHA 2024, Anda Berpeluang Menang Motosikal Setiap Hari Dengan Kempen AgroMAHA
Baca lagi →

Ramai mempersoalkan kenapa Norza tidak menggunakan kuota itu untuk membawa pakar atau staf kejurulatihan yang boleh membantu atlet. Lebih lebih lagi apabila ada atlet tidak diberikan peruntukan jurulatih.

Norza Zakaria: Saya Ada Kuota Khas Bawa Tetamu Ke Paris

MOM menegaskan bahawa presidennya, Tan Sri Norza Zakaria menggunakan wangnya sendiri untuk membiayai perbelanjaan keluarganya ke Paris. Begitu juga dengan semua perbelanjaan sepanjang berada di Paris juga menggunakan wang peribadi Norza, kata MOM.

Ahli keluarga Norza hanya dibantu untuk memudahkan akses mereka ke arena atau venue pertandingan oleh MOM dan IOC sendiri.

Apa yang pasti MOM memberikan jaminan tiada duit kerajaan atau wang hasil cukai rakyat digunakan oleh Norza.

Selain itu MOM mengesahkan bahawa kehadiran Norza di Sukan Olimpik, bersama sama dengan ahli keluarganya, mematuhi sepenuhnya peraturan IOC dan MOM.

Dipetik dari Sinar Harian, MOM menegaskan: “Pada saat ini, adalah penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada perkara paling penting, iaitu menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang mewakili negara di pentas dunia.

“Marilah kita bersatu hati dan menyalurkan tenaga kita untuk meraikan pencapaian mereka dan menggalakkan usaha mereka.”

MOM turut menjawab tentang kuota khas yang diberikan kepada Tan Sri Norza dan keluarganya. Menurut MOM, kuota itu diperuntukkan kepada pucuk pimpinan organisasi, majlis atau jawatankuasa Olimpik di negara masing-masing.

Ini termasuk mereka yang memegang jawatan seperti Presiden dan Setiausaha Agung, selain Ketua Negara, dan Menteri Sukan.

Lantas, MOM merasakan sepatutnya tiada isu berbangkit tentang perkara itu. Kerana kuota tersebut memang sudah ada dalam peruntukan kepada setiap negara yang bertanding menurut MOM.

Mereka yang tertakluk kepada kuota tersebut akan diberikan akses VIP namun tidak merangkumi akses ke kawasan gelanggang atau padang permainan, bilik persalinan atau penginapan atlet di perkampungan Olimpik.

Oleh itu MOM menegaskan adalah tidak relevan untuk memberikan kuota itu kepada staf kejurulatihan, memandangkan aksesnya adalah terhad.