Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengenepikan cabaran hebat diberikan Selangor untuk meraih kemenangan 2-0 pada aksi kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2025 sebentar tadi.

Lebih manis, kemenangan penting yang dilakarkan anak buah Juan Antonio Miguel Garcia itu menjelma di di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.

Baca Juga:

Aksi menemukan dua pasukan gergasi tanah air itu jelas menarik untuk disaksikan dengan corak permainan pantas disajikan sepanjang perlawanan.

Awalluddin Mat Nawi menceriakan kem pelawat pada minit kesembilan apabila percubaan separa voli diledakannya setelah menerima hantaran jauh tidak mampu diselamatkan penjaga gol Selangor, Syawal Sabaruddin.

Seminit kemudian, Awalluddin mengambil kesempatan atas kesilapan Syawal yang gagal mengawal bola dengan baik di depan gawangnya untuk mudah menolak masuk gol kedua.

Selepas itu, aksi semakin menarik ditampilkan kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan tetapi Syawal dan Azrul Hadee menggagalkan usaha lawan masing-masing.

Memasuki minit ke-32 pengendali Selangor Edgar Eder Baldsso, mula menggunakan taktikal ‘Power Play’ untuk mendapatkan jaringan, namun Azrul Hadee terus menjadi penghalang utama mereka.

Sebaliknya, Syed Aizad Daniel Syed Nasir menjadikan kedudukan 3-0 selepas bekas pemain Selangor itu melakukan percubaan rendah untuk memastikan kemenangan mutlak menjadi milik JDT.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat JDT yang sebelum ini menundukkan Malaysian University FT 8-3 untuk meletakkan mereka di tangga teratas liga setakat ini.

Berikut merupakan keputusan penuh perlawanan minggu kedua:

1) Selangor 0-3 JDT
2) Kedah 3-1 Sabah
3) TOT United 2-4 KL City
4) Pahang Rangers 6-2 Malaysian University FT