China telah mengesan strain baharu mpox yang bermutasi, di kenali sebagai clade Ib, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC) pada hari Khamis, lapor Reuters.
Penemuan ini berlaku ketika wabak jangkitan mpox terus merebak ke lebih banyak negara selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan keadaan kecemasan kesihatan awam global tahun lalu.
CDC China menyatakan bahawa kluster wabak ini bermula daripada seorang warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan dan tinggal di Republik Demokratik Congo (DRC).
Dari individu ini, empat lagi kes telah dikesan, berpunca daripada kontak rapat. Walaupun begitu, kesemua pesakit hanya mengalami gejala ringan seperti ruam kulit dan lepuh.
Mpox adalah jangkitan virus yang merebak melalui kontak rapat.
Penyakit ini menyebabkan simptom seperti selesema dan luka bernanah pada badan.
Walaupun kebanyakan kes adalah ringan, ia boleh membawa maut dalam kes yang jarang berlaku.
Strain Ib yang baharu ini dilaporkan lebih mudah menular melalui kontak rapat, termasuk hubungan seksual.
Strain ini mula dikenal pasti di DRC sebelum merebak ke negara jiran seperti Burundi, Kenya, Rwanda, dan Uganda, yang akhirnya mencetuskan pengisytiharan kecemasan oleh WHO pada Ogos tahun lalu.
China, sejak tahun lalu, telah meningkatkan pemantauan terhadap orang dan barangan yang masuk ke negara tersebut untuk mencegah mpox.
Suruhanjaya Kesihatan Negara China telah mengklasifikasikan mpox sebagai penyakit berjangkit Kategori B, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah kecemasan seperti:
- Mengehadkan perhimpunan awam.
- Menangguhkan aktiviti kerja dan sekolah.
- Mengunci kawasan yang terjejas jika berlaku wabak.
Walaupun tiada kes mpox dikesan di Malaysia setakat ini, penularan strain clade Ib yang lebih mudah merebak harus diberi perhatian, terutamanya dengan hubungan perjalanan dan perdagangan antarabangsa yang aktif.
Langkah pemantauan ketat seperti yang dilakukan oleh China boleh menjadi teladan bagi negara kita.