Menjelang Ramadan, siri ikonik Khairul Aming menjadi rujukan wajib buat komuniti masakan tanah air. Walau bagaimanapun, populariti luar biasa resipi ini sering mencetuskan fenomena luar jangka, di mana para peminat berdepan kesukaran mendapatkan bahan mentah yang spesifik.
Memahami kehendak pelanggan yang sering buntu mencari bahan masakan viral, AEON Mall Taman Universiti (Skudai) baru-baru ini mendapat pujian meluas di media sosial atas inisiatif kreatif mereka memudahkan urusan dapur para pengunjung.
Pihak pengurusan pasar raya tersebut telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan satu sudut khas yang menghimpunkan semua bahan mentah dan rempah-ratus berdasarkan resipi popular pempengaruh masakan terkenal, Khairul Aming (KA).

Jika kebiasaannya pelanggan perlu berjalan dari satu lorong ke lorong yang lain untuk mencari bahan seperti sos tiram, cili kering, atau santan, AEON Skudai mengubah norma tersebut. Di bawah label “Resipi Khairul Aming”, semua keperluan untuk menu spesifik diletakkan di satu sudut yang sama.
Tindakan ini mula tular setelah beberapa pengunjung berkongsi foto sudut berkenaan di platform media sosial. Rata-rata netizen memuji kreativiti pasukan pemasaran AEON Skudai yang dianggap “peka dengan trend semasa” dan memahami kesibukan masyarakat hari ini.
“Siapa yang cadangkan idea ini memang bernas.. Ini dinamakan proaktif,” ujar seorang netizen.
“Ni siapa lelaki yang suka pening beli barang untuk isteri senang boleh senang beli dekat sini,” seloroh seorang lagi.
Secara profesionalnya, langkah ini bukan sekadar memudahkan pelanggan, malah merupakan satu strategi cross-merchandising yang sangat efektif.
Dengan menggabungkan produk-produk berkaitan di satu lokasi berdasarkan satu tema (resipi viral), ia secara tidak langsung meningkatkan jualan bagi barangan yang mungkin terlepas pandang oleh pembeli.
Langkah AEON Skudai ini diharapkan dapat menjadi contoh kepada cawangan lain atau pasar raya lain untuk terus berinovasi dalam memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih efisien dan mesra pelanggan.