Alhamdulillah. Diberi keizinan dan saya rasa sangat bertuah kerana ALLAH S.W.T menjemput saya lebih awal dari yang saya rencanakan untuk kerumah NYA untuk melakukan ibadah Umrah.

Apa yang cuba saya sampaikan di sini adalah satu sisi berbeza yang saya temui semasa saya di sana. Bersama ibu, kakak dan seorang bapa saudara ke sana, saya cuma mengharapkan segala urusan akan dipermudahkan dan segala ibadah saya diterima tanpa dipalingkan niat yang lain.

Membawa ibu yang sedang uzur dan tiada keupayaan untuk berdiri dengan lebih lama menjadi persoalan utama bagaimana saya ingin menguruskannya di sana? Adakah akan menyusahkan jemaah-jemaah lain? Mampukah saya memberi keselesaan demi mengurangkan tekanan dan menjaga kesihatan ibu?

Pelbagai perkara berlegar di minda sebelum tibanya hari. Gusarnya saya sebagai seorang anak membawa seorang ibu yang uzur menjalankan ibadah umrah.

Persepsi dan tanggapan pertama saya rupanya sama sekali meleset. Seumpama VVIP dan segala perkara yang dilakukan begitu mudah sekali.

Di sini ingin saya ketengahkan beberapa perkara apa yang perlu dilakukan jika anda juga turut berada di dalam situasi yang sama seperti saya:

1. Sebelum hari berlepas

Pastikan ubat-ubatan dibawa secukupnya bagi sepanjang tempoh umrah. Segala kelengkapan jemaah yang uzur juga mesti dipersiapkan. Ubat yang  wajib dimakan sepanjang di tanah suci perlu diperiksa beberapa kali agar semuanya cukup. Tahap kesihatan jemaah juga perlu diperiksa beberapa kali agar sentiasa berada dalam keadaan baik.

2. Kerusi roda

Saya tidak membawa kerusi roda, malah tidak mempunyai kerusi roda. Setibanya di lapangan terbang, kami meminjam daripada pihak lapangan terbang terlebih dahulu. Syarat yang dikenakan adalah kena tinggalkan kad pengenalan. Semasa check in, ingatkan kepada petugas yang menguruskan untuk request wheel chair. Jadi di boarding pass akan tertera ‘WHCR’. Sejam sebelum boarding, terus ke kaunter 1B, bawa boarding pass dan passport untuk request wheel chair.

Pada mulanya di fikiran, saya akan menolak sendiri kerusi roda. Tapi rupanya petugas airlines yang akan tolak sehingga ke tempat duduk pesawat. Tambahan pula, kami akan menjadi orang pertama yang akan menaiki pesawat dan terakhir turun daripada pesawat.

Perghhh tak payah beratur dan menunggu giliran. Pramugari pula meyambut di pintu dan menghantar ke tempat duduk. Terasa VVIP gaisss!

3. Layanan di Lapangan Terbang Medina

Setibanya di Lapangan Kapal Terbang Medina, Arab Saudi, sidah tersedia ada lift dan bas yang akan menghantar pesakit di depan kaunter imigresen. Paling best tak payah beratur. Boleh terus ke kaunter imigresen dan pegawai cop passport tanpa banyak songeh.

Tapi di Medina Airport, terdapat kekurangan kemudahan kerusi roda dan semasa penerbangan kami tiba terdapat lebih kurang 7 pesakit yang memerlukan kerusi roda. Jadi apa yang harus dilakukan, minta jasa baik jemaah lain untuk memudahkan urusan kita.

InshaAllah mereka akan memberi kita giliran untuk melepasi imigresen. Kalau minta dengan pegawai di sana, mereka tetap menyuruh kita untuk berdiri dan menunggu giliran seperti orang lain. Rakyat Malaysia semua prihatin, mereka akan bantu kita. Percayalah.

4. Kemudahan di hotel

Di hotel pula, terdapat beberapa kerusi roda di setiap tingkat. Difahamkan, kerusi roda tersebut telah diwaqafkan untuk kegunaan jemaah lain. Jadi anda tidak perlu khuatir sama sekali.  Boleh gunakan kerusi roda tersebut secara percuma.

Selain itu juga, kelebihan lain di sini apabila anda tidak perlu menunggu giliran untuk menggunakan lif. Malah ramai akan menawarkan anda untuk terus menaiki lif terlebih dahulu.

Tetapi, saya biasanya menolak dan menunggu giliran seperti jemaah lain melainkan jika ibu saya ingin ke tandas. Belum sampai di pintu hotel, ada orang akan terus membukakan pintu kepada anda. Hebatnya penangan jemaah berkerusi roda. Cewah.

5. Mutawif

Semasa umrah pertama kami, saya memilih mutawif daripada Indonesia dengan kadar upah 250 SR untuk kos menolak ibu saya. Jangan pandang rendah! Dia siap akan ajar cara dan membacakan dengan kuat agar kita turut serta dapat mengikuti setiap bacaan.

Tawaf dan saie untuk mereka yang berkerusi roda adalah di tingkat satu. Tidak dibenarkan untuk tawaf di bahagiaan bawah berdekatan kaabah tetapi untuk saie dibenarkan. Cuma untuk di bahagiaan bawah adalah sedikit mendaki bukit ketika merentasi safa dan marwah . Berbeza untuk bahagiaan atas yang mempunyai permukaan yang rata. Laluan khas turut disediakan untuk mereka yang berkerusi roda.

Untuk umrah yang seterusnya, saya memilih untuk melakukan sendiri dan menolak kerusi roda ibu saya sendiri dan jangan bimbang untuk berbuat demikian kerana jemaah lain akan memberi laluan kepada anda. Kita mudahkan urusan orang, inshaALLAH urusan kita bakal dipermudahkan.

Tempahan mutawif daripada Indonesia hendaklah dibuat awal, dan saya membuat tempahan ketika saya dalam perjalanan daripada Madinah ke Mekah. Tempahan boleh dibuat melalui pegawai syarikat pelancongan yang menguruskan kita di sana.

Kita juga boleh ikut serta bersama mutawif semasa mereka menolak  jemaah yang menggunakan kerusi roda. Yang paling saya kagum mengenai mutawif Indonesia, dia akan menunaikan umrah bersama-sama, dan sekaligus memudahkan urusan jemaah yang mengikuti mutawif tadi.

Disarankan untuk tidak mengambil pekerja yang berada di sekitar Masjidil Haram. Mereka menolak sambil berlari dan sangat laju, belum sempat baca apa apa dah sampai haaaa. Hahahaha.

6. Solat di Masjidil Haram

Untuk solat waktu biasa di Masjidil Haram disarankan untuk pergi awal bagi jemaah yang berkerusi roda sekurangnya 1.5 jam sebelum waktu solat. Jemaah yang menaiki kerusi roda hanya dibenarkan solat di ruang tingkat 1 dan 2 sahaja.

Saya biasanya akan memasuki pintu 89-94 dan King Abdul Aziz Gate kerana berdekatan dengan hotel yang kami menginap. Jika lambat tidak akan dibenarkan masuk kerana bakal menganggu lalu lintas jemaah lain. Orang kata nak seribu daya, tak nak seribu dalih kan? Nak datang bukan mudah. Apa salah berkorban waktu untuk beribadah kan?

7. Ziarah

Untuk program ziarah, kita boleh memilih sama ada ingin membawa jemaah turun bersama atau tidak untuk melihat Jabal Nur, Jabal Uhud, Gua Hira dan beberapa tempat lagi.

Disarankan untuk buat kajiaan dan bacaan awal sebelum pergi bagi memudahkan urusan kita untuk mengulang semula apa yang diceritakan oleh mutawif kepada jemaah yang uzur sekiranya mereka tidak larat untuk turun semasa ziarah.

Ilmu sebegini amat perlu bagi kita menerangkan kepada jemaah yang uzur supaya mereka turut memahami dan mengerti bagaimana perjuangan Nabi Muhammad S.A.W menegakkan syiar islam.

8. Masuk ke Raudah

Untuk memasuki Raudah pula, anda juga mempunyai kelebihan. Anda dibenarkan memasuki Raudah melalui pintu 25 di mana terdapat beberapa waktu untuk wanita.

Laluan untuk mereka yang berkerusi roda disediakan dan ruang sekitar 10×10 keluasan disediakan di Raudah untuk mereka yang berkerusi roda. Jadi ambil peluang untuk memanfaatkan waktu yang berharga untuk berada di Raudah. Berdoa lah semahu-mahunya semasa sujud dan selepas solat. Tapi awas! Jangan terlalu lama. Risau diusir. Hihihi.

9. Makanan

Jika jemaaah tidak dapat makan hidangan yang disediakan atas faktor kesihatan, jangan runsing terdapat kedai yang menjual makanan dari masakan Indonesia, Pakistan dan beberapa lagi negara lain. KFC pun ada hokay!

10. Info tambahan

Sedikit informasi tambahan, pesakit yang memerlukan rawatan dialysis sebenarnya mempunyai peluang mengerjakan umrah dan haji. Sila berhati-hati memilih syarikat pelancongan kerana ada yang mengenakan bayaran ke atas khidmat dialysis berkenaan.

Untuk pengetahuan, kerajaan Arab Saudi menanggung sepenuhnya kos rawatan dialysis. Dalam erti kata lain rawatan dialysis adalah percuma bagi jemaah haji dan umrah.

Berdasarkan pegalaman seorang sahabat yang mengunakan khidmat ini, pihak syarikat pelancongan akan menguruskan jadual temujanji dengan hospital yang berdekatan dan kita hanya perlu menyediakan bayaran untuk kos pengangkutan ke hospital sahaja.

Harus diingatkan, jemaah yang memerlukan rawatan ini hendaklah membawa laporan terperinci daripada Malaysia untuk rujukan pakar neurologi di Arab Saudi.

Jemaah terbabit juga perlu peka kepada pam tekanan dialysis kerana kadar tekanan jantung orang Arab dan Asia berbeza. Jemaah dan ahli keluarga yang menemani jemaah semasa melakukan rawatan dialysis turut diberikan makanan dan sebagainya agar jemaah selesa semasa mendapatkan rawatan. Terbaik kan?

Buat mereka yang bakal menunaikan umrah dan merasakan terbeban bila membawa Jemaah yang uzur, percayalah anda akan menemukan satu sisi berbeza ketika berada di sana.

Apa yang anda kerjakan dan pengorbanan yang anda lakukan pastinya dinilai dan dibalas dari pelbagai sudut. Anda akan temui kemanisan dan kebahagiaan apabila insan yang anda kasihi mampu tersenyum indah saat anda bersungguh-sungguh ingin membahagiakan mereka.

Selamat mengerjakan umrah! Semoga kesemua daripada kita dilindungi dan dirahmati ALLAH S.W.T

Baca lagi: Pengalaman Manis Dan Tip Umrah DIY Saya Selama Seminggu Di Mekah Dan Madinah