Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, melahirkan rasa kesal terhadap tindakan sebuah pencipta kandungan yang menjemput ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu podcast mereka.

Wan Salim berkata, tindakan itu amat mengecewakan dan boleh dianggap sebagai satu cara mempromosikan serta menormalisasikan persundalan, petik Berita Harian.

Baca Juga:

“Sekiranya keadaan ini tidak dikekang atau dicegah, dibimbangi ia akan mempengaruhi remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, kerajaan sepatutnya memandang serius terhadap perbuatan itu dan mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang mempromosikan kemungkaran sedemikian kerana ia boleh merosakkan nilai akhlak masyarakat.

“Sehubungan itu, kita mohon pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mendakwa penganjur podcast berkenaan mengikut undang-undang sedia ada.

“Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua pihak dan sebagai satu langkah mencegah tindakan menormalisasikan maksiat di negara ini,” tegas mufti berhubung pencipta kandungan menjemput ‘Hot Daddy’.

Terdahulu warganet mengecam pencipta kandungan menjemput individu terlibat dengan aktiviti persundalan untuk datang ke podcast mereka.

Bagaimanapun pihak pencipta kandungan itu mempertahankan tindakan tersebut kerana mereka adalah segmen ‘realiti kehidupan’.

Jelas mereka lagi terdapat banyak percanggahan pendapat antara mereka bersama individu tersebut sewaktu merakam podcast berkenaan.

Setakat artikel ini ditulis, saluran pencipta kandungan terbabit masih belum memuat naik video podcast terbaharu tersebut.

Sumber