Bintang futsal Thailand, Muhammad Osamanmusa terus melakar sejarah hebat dalam kariernya apabila menjadi pemain dari Asia pertama yang berjaya menjulang trofi Liga Futsal Sepanyol (LNFS).

Kejayaan itu hadir selepas pasukannya, Jimbee Cartagena mengesahkan kejuaraan selepas menundukkan gergasi futsal Sepanyol, Barcelona pada perlawanan akhir keempat, awal pagi tadi.

Baca Juga:

Jimbee yang merupakan juara bertahan tewas pada aksi final pertama 3-5, namun mereka bangkit dengan tiga kemenangan berturut-turut untuk menang 3-2 pada setiap perlawanan bagi sekali lagi menjulang trofi berprestij tersebut.

Muhammad Osamanmusa
Kredit Foto: Facebook Osamanmusa

Kejayaan ini bukan sahaja mencipta sejarah peribadi buat Osamanmusa tetapi turut mengangkat martabat pemain futsal Asia di pentas Eropah yang selama ini didominasi oleh pemain benua Amerika Selatan dan Eropah.

Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol pada keempat-empat aksi final tersebut, Osamanmusa tetap memainkan peranan penting dalam mengkucar-kacirkan pertahanan (fixo) lawan.

Muhammad Osamanmusa
Kredit Foto: Facebook Osamanmusa

Kembara Hebat Muhammad Osamanmusa Di Sepanyol

Musim 2024/25 menyaksikan Muhammad Osamanmusa berjaya menjaringkan enam gol dalam saingan liga dimana turut membantu Jimbee Cartagena muncul juara Supercopa Futsal Espana dan meraih tempat ketiga Liga Futsal Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menundukkan Sporting CP dari Portugal.

Muhammad Osamanmusa berkelana ke Sepanyol selepas cemerlang di Thailand dengan berbekalkan pencapaian hebat dinikmati seperti dua kali muncul juara Liga Futsal Thailand musim 2020 dan 2021/22 bersama Chonburi Bluewave serta menjulang Thai FA Futsal Cup 2017/18 ketika menyarung jersi Bangkok BTS.

Sebelum bersama Jimbee Cartagena, pemain berusia 27 tahun itu menyarung jersi Cordoba Patrimonio de la Humanidad yang turut beraksi dalam saingan Liga Futsal Sepanyol.