Satu lagi pencapaian hebat dilakarkan Muhammad Osamanmusa di Eropah apabila bintang Thailand itu meledakkan hatrik pada perlawanan Liga Futsal Sepanyol 2025/26.

Ia merupakan hatrik pertama dilakarkan pemain berusia 27 tahun itu sejak mula beraksi di Liga Futsal Sepanyol pada pertengahan musim 2017/18 selaku pemain pinjaman.

Baca Juga:

Hanya membuat satu penampilan pada ketika itu, Osamanmusa kemudiannya tampil lebih matang dengan menyertai Cordoba Patrimonio bagi menghadapi musim 2022/23.

Selepas daripada itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang untuk terus membuktikan kemampuan hebat dimilikinya ketika beraksi.

Menyertai juara dua musim berturut-turut Liga Futsal Sepanyol, Jimbee Cartagena pada musim lalu jelas meningkatkan lagi kemampuannya yang semakin serasi dengan persekitaran di Sepanyol.

Muhammad Osamanmusa Ledak Hatrik Pertama Dalam Aksi Liga Futsal Sepanyol
Kredit Foto: Jimbee Cartagena

Muhammad Osamanmusa Pamer Bisa

Ia jelas dibuktikan apabila Muhammad Osamanmusa berjaya meledakkan hatrik ketika membantu Jimbee Cartagena menewaskan Cordoba Patrimonio 6-1 malam semalam.

Ketika kedudukan terikat 1-1, pemain kacukan Thailand-Ghana itu menguis masuk bola pada minit ke-22 susulan percubaan voli dari luar kawasan D oleh Francisco Tomaz Braga Nunes bagi memberikan kelebihan buat Jimbee.

Tidak sampai seminit berselang, Osamanmusa menambah jaringan kedua peribadinya selepas beliau melakukan ‘turning’ cantik dan menyudahkan peluang terhidang ketika menerima umpanan dari situasi sepakan percuma diambil Gonzalo Castejon Fluixa.

Muhammad Osamanmusa
Kredit Foto: Facebook Osamanmusa

Minit ke-34 menyaksikan beliau melengkapkan hatrik selepas dengan mudah menolak masuk bola selepas menerima lorongan daripada Castejon bagi memastikan kemenangan 6-1 buat pasukannya.

Tidak cukup dengan itu, Osamamusa turut mencipta satu bantuan jaringan ketika membantu gol dihasilkan Tomas pada minit ke-32.

Keadaan yang memastikan ‘Anugerah Pemain Paling Bernilai Perlawanan Pilihan Peminat’ menjadi milik beliau.

Selepas mengharungi empat perlawanan, Muhammad Osamanmusa telah menjaringkan empat gol untuk meletakkannya di kedudukan kedua bersama enam lagi pemain lain.

Sementara itu, Jimbee yang mencatatkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri setakat ini berada di tangga teratas Liga Futsal Sepanyol 2025/26 berbekalkan kelebihan perbezaan jaringan selepas terikat 10 mata bersama Barca.