MySiren ialah Sistem Amaran Awal (Early Warning System, EWS) Malaysia yang dibangunkan untuk memberi amaran kecemasan, supaya orang ramai dapat mengambil tindakan segera bagi melindungi nyawa dan harta benda.

Sistem yang menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) ini bukan sekadar membabitkan penghantaran mesej ke telefon bimbit, sebaliknya memerlukan sokongan infrastruktur telekomunikasi serta penyelarasan operasi bagi memastikan maklumat sampai kepada kumpulan sasaran dengan pantas dan tepat.

Menerusi sistem itu, amaran kecemasan dapat disalurkan secara terus kepada telefon bimbit pengguna yang berada di kawasan dikenal pasti berisiko, sekali gus membantu meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat ketika berdepan ancaman bencana.

Walaupun proses penerimaan amaran kelihatan mudah apabila mesej dipaparkan pada skrin telefon, pelaksanaannya membabitkan beberapa komponen teknologi yang perlu berfungsi secara tersusun.

Secara asasnya, CBS menggunakan rangkaian telekomunikasi mudah alih untuk menyiarkan mesej kepada peranti yang berada dalam kawasan liputan sel tertentu.

Berbeza dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menghantar mesej kepada nombor telefon individu, teknologi CBS menggunakan pendekatan penyiaran, membolehkan mesej sama disampaikan kepada banyak peranti secara serentak dalam kawasan sasaran.

Ini bermakna penyampaian amaran tidak bergantung kepada penghantaran mesej secara individu kepada setiap pengguna, sebaliknya memanfaatkan infrastruktur rangkaian sedia ada untuk menyebarkan maklumat kepada peranti dalam kawasan berkenaan.

Berdasarkan penerangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sistem CBS memanfaatkan rangkaian mudah alih 4G dan 5G bagi menyampaikan amaran kecemasan kepada orang ramai yang berada di kawasan berisiko.

Namun, bagi memastikan sistem seumpama itu dapat berfungsi dengan berkesan, beberapa aspek perlu diberikan perhatian, termasuk penyediaan maklumat amaran, pengenalpastian kawasan sasaran, keupayaan rangkaian serta penyelarasan antara pihak yang bertanggungjawab.

Maklumat tetap, tersusun

Dalam konteks pengurus bencana, ketepatan maklumat menjadi perkara penting kerana amaran yang dikeluarkan perlu berdasarkan situasi dan kawasan yang dikenal pasti berisiko.

Pada masa sama, penyampaian amaran turut memerlukan pembabitan agensi yang mempunyai tanggungjawab mengeluarkan maklumat rasmi supaya orang ramai menerima arahan yang jelas dan boleh dipercayai.

Komponen penyelarasan itu menjadikan pelaksanaan CBS satu usaha yang lebih menyeluruh, bukan hanya membabitkan penyediaan teknologi, tetapi turut memerlukan kerjasama pihak pengurusan bencana dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Keupayaan menyampaikan amaran secara pantas juga perlu dilihat dalam konteks kepentingannya ketika kecemasan, apabila kelewatan menerima maklumat boleh menjejaskan keupayaan orang ramai mengambil tindakan keselamatan.

Menerusi pendekatan amaran awal, individu yang berada di kawasan berisiko berpeluang mendapatkan maklumat lebih awal dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi diri serta keluarga.

Bagaimanapun, cabaran komunikasi kecemasan hari ini turut dipengaruhi perkembangan media sosial yang membolehkan maklumat tersebar dengan pantas kepada masyarakat.

Walaupun platform digital memudahkan penyampaian maklumat kepada khalayak yang lebih luas, penyebaran maklumat tidak sahih, khabar angin dan amaran tidak rasmi juga berpotensi mencetuskan kekeliruan ketika berlakunya bencana.

Keadaan itu menjadikan keperluan kepada saluran amaran rasmi yang pantas, tepat dan dipercayai semakin penting bagi memastikan masyarakat dapat membezakan maklumat sahih daripada kandungan yang tidak disahkan.

Dalam persekitaran komunikasi hari ini, menyampaikan sesuatu maklumat kepada orang ramai mungkin bukan lagi cabaran terbesar, memandangkan capaian media sosial yang begitu luas.