Nama Nafuzi Zain, pengendali Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC), kini hangat diperkatakan sebagai calon utama untuk menggalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.
Perkara ini mendapat perhatian apabila dua wartawan sukan terkenal tanah air, Zulhelmi Zainal Azam dari Astro dan T. Avineshwaran dari The Star, mengesahkan spekulasi tersebut.
Baca Juga:
- Piala Asia B-23: Skuad Malaysia Pulang Ke Tanah Air Dengan Tangan Kosong
- Tewas Kepada Vietnam, Corak Permainan Skuad B-23 Tahun Negara Terima Kritikan
- Pemain Kedah Darul Aman ‘Rindu’ Dengan Gaji
Zulhelmi Zainal Azam dalam ciapannya di laman sosial X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) menyatakan, “Nafuzi Zain bakal tinggalkan Kedah Darul Aman, difahamkan menjadi calon jurulatih B23 negara.”
Ciapan ini menguatkan lagi dakwaan yang menyatakan bahawa Nafuzi Zain mungkin akan meninggalkan tugasnya di Kedah untuk menyertai skuad B-23 negara.
Khabar angin mengenai peralihan ini turut menyemarakkan lagi spekulasi bahawa terdapat jurulatih terkemuka dalam Liga Super Malaysia juga mungkin akan meninggalkan pasukan.
Ini menunjukkan bahawa kemungkinan berlaku perubahan dalam struktur kejurulatihan bola sepak negara terutamanya buat skuad B-23.
Mula membimbing Kedah pada musim 2023, visi kejurulatihan Nafuzi Zain sering dipuji oleh penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan terutamanya ketika membimbing Terengganu hingga membawa pasukan tersebut muncul naib juara Liga Super dan Piala FA 2022.
Sekiranya beliau benar-benar dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara, ini dijangka akan memberikan impak positif kepada pembangunan bola sepak negara, terutamanya dalam memastikan kemajuan skuad muda Malaysia di peringkat antarabangsa.
Skuad Malaysia B-23 sebelum ini dibimbing oleh pengendali dari Sepanyol, Juan Torres Garrido tetapi skuad kendaliannya gagal meraih sebarang mata dalam Piala Asia B-23 selepas tewas 0-2 kepada Uzbekistan dan Vietnam serta tunduk 1-2 ketika bertemu Kuwait.