Julian Nagelsmann secara rasmi meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Jerman selepas kempen Piala Dunia yang berakhir dengan kekecewaan besar, sekali gus membuka lembaran baharu buat skuad Die Mannschaft yang kini kembali mencari arah.
Keputusan itu hadir beberapa hari selepas penyingkiran mengejut Jerman di kejohanan terbesar dunia tersebut, dengan tekanan terhadap Nagelsmann semakin memuncak susulan kegagalan memenuhi sasaran minimum yang diletakkan oleh persatuan bola sepak negara itu. Dalam kenyataan peribadinya, beliau menjelaskan keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru.
“Saya telah banyak memikirkan perkara ini sejak beberapa hari selepas penyingkiran kami, dan saya juga telah berbincang dengan individu-individu yang saya percaya, sama ada secara peribadi mahupun dalam struktur persatuan,” kata Nagelsmann.
Beliau menegaskan bahawa keputusan untuk berundur adalah sesuatu yang sangat sukar, namun merasakan ia adalah langkah yang perlu demi masa depan pasukan.
“Keputusan ini sama sekali bukan sesuatu yang mudah untuk saya. Keutamaan saya sejak hari pertama adalah kejayaan pasukan. Selepas kekecewaan yang begitu pahit, mereka berhak mendapat peluang untuk memulakan semula dengan tenaga baharu. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada staf kejurulatihan saya, pasukan sokongan, dan semua di dalam FA Jerman yang sentiasa menyokong kami, terutama para pemain yang saya berpeluang untuk bekerjasama.”
Dalam nada yang lebih emosional, Nagelsmann turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Jerman yang setia memberi sokongan walaupun ketika pasukan berada dalam situasi sukar.
“Ucapan terima kasih yang istimewa juga saya tujukan kepada para peminat. Anda semua membawa kami, anda percaya kepada kami, anda memberi kami tenaga walaupun dalam saat sukar. Ia benar-benar menyakitkan saya kerana kami mengecewakan anda dan tidak dapat menghadiahkan lebih banyak malam-malam indah di Piala Dunia ini. Anda layak menerima lebih daripada itu.”
🚨 𝗢𝗙𝗙𝗜𝗖𝗜𝗔𝗟: Statement from Julian Nagelsmann on stepping down as coach of Germany:
"I've done a lot of thinking in the days since our elimination and have consulted with trusted individuals both personally and within the federation."
"The decision was anything but easy… pic.twitter.com/EoVJuTjXdd
— The Touchline | 𝐓 (@TouchlineX) July 3, 2026
Dengan perletakan jawatan ini, perhatian kini beralih kepada siapa yang bakal mengisi kekosongan besar itu. Dan seperti biasa dalam dunia bola sepak Jerman, satu nama mula kembali hangat diperkatakan — Jurgen Klopp.
Tidak sah kalau tiada nama Jurgen Klopp dikaitkan dengan jawatan jurulatih Jerman, adakah kali ini ianya menjadi realiti?
Bekas pengendali Liverpool itu dilihat sebagai calon “impian” untuk projek baharu Jerman, terutama kerana reputasinya membina pasukan dengan identiti jelas, intensiti tinggi dan mentaliti pemenang. Walaupun Klopp sebelum ini beberapa kali memberi isyarat bahawa beliau mahu berehat daripada pengurusan kelab, peluang mengendalikan pasukan kebangsaan negara sendiri mungkin menjadi faktor yang mampu mengubah pendiriannya.
Setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada DFB bola sepak Jerman mengenai pengganti Nagelsmann, namun tekanan untuk mendapatkan figura besar seperti Klopp dijangka akan meningkat dalam beberapa hari mendatang — lebih-lebih lagi selepas satu lagi era berakhir dengan kekecewaan di pentas dunia.