Syarikat kejuruteraan Citaglobal Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM168.88 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menaik taraf laluan sejauh 7.25 kilometer di Lebuhraya Laluan Persekutuan 3 (FT3) sepanjang koridor Kota Bharu–Kuala Terengganu.
Memetik The Edge Malaysia, Citaglobal, dalam satu kenyataan pada Khamis, memaklumkan bahawa kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Land Sdn Bhd (CLSB), selepas melalui proses tender kompetitif.
Baca Juga:
- Kelantan Dijangka Jadi Negeri Ramai Warga Emas Dalam Tempoh Kurang 10 Tahun
- Nissan GT-R Antara 13 Kereta Mewah Bernilai RM5 Juta Disita JPJ Kelantan

- Mahu Jual Kelantan FC Dengan Harga RM300,000, Zamsaham Dedah Tawaran Diabaikan GSK

Projek itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada laluan sehala kepada laluan dua hala yang dibina mengikut piawaian JKR.
Dengan penganugerahan kontrak terbaharu ini, buku pesanan Citaglobal kini meningkat kepada RM1.3 bilion, sekali gus memanjangkan jangka pendapatan kumpulan itu untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Menurut pemfailan syarikat kepada Bursa Malaysia, JKR telah membuka tender pada Disember 2024, manakala CLSB menghantar bidaannya pada Februari 2025.
Projek ini melibatkan kerja-kerja bagi enam jambatan, lima persimpangan, kerja tanah, kerja geoteknikal, saliran, turapan, pencahayaan, lampu isyarat, perabot jalan raya serta infrastruktur berkaitan.
Kontrak tersebut dijadualkan untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan daripada tarikh pengambilan tapak.