Bermula 14 Februari 2026, Tonton Original bakal membawakan naskhah komedi romantik 10 episod bertajuk Namamu Cinta yang menyentuh hati, menampilkan gandingan teraju utama Zara Zya dan Jazmy Juma dalam merungkai pencarian jati diri serta erti kebahagiaan sebenar. Siri ini akan disiarkan secara eksklusif setiap Sabtu dan Ahad di Tonton.
Diarahkan oleh Khairi Anwar dengan skrip nukilan Anwar Hadi dan Baizura Kahar, drama terbitan Red Communications ini menyatukan Zara Zya dan Jazmy Juma buat pertama kalinya bergandingan sebagai watak utama, sekali gus menjadi antara tarikan utama. Turut membarisi pelakon ialah Shahz Jaszle, Syad Mutalib, Sobri Anuar serta Nor Albaniah yang memperkukuh penceritaan dengan lakonan mantap masing-masing.
Siri ini mengisahkan Nuna (Zara Zya), seorang usahawan fesyen yang berjaya, berdisiplin tinggi dan obses untuk menang dalam setiap aspek kehidupan. Namun, tekanan hidup serta pertelingkahan rumah tangga membawa kepada perceraian dengan Hisham (Shahz Jaszle), seorang pelakon popular, lantas meruntuhkan dunia yang selama ini dibinanya.
Demi menyembuhkan luka di hati, Nuna memilih untuk berpindah sementara ke Kampung Bagan Lalang bersama bapanya. Di sana, takdir menemukan dia dengan Aslan (Jazmy Juma), seorang pembuat batik muda berbakat yang memilih kehidupan sederhana, menjadikan seni batik sebagai cerminan jiwa dan falsafah hidupnya. Pertembungan antara dunia kompetitif Nuna dan ketenangan hidup Aslan melahirkan sebuah hubungan yang unik, dipenuhi salah faham, tawa dan detik-detik mencuit hati.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila Anis (Syad Mutalib), teman rapat yang menyimpan perasaan terhadap Aslan, mula berasa tergugat dengan kehadiran Nuna. Ketegangan memuncak apabila Hisham muncul semula untuk meraih simpati dan menuntut tempat dalam hidup Nuna, meletakkan beliau dalam dilema antara kenangan lama atau masa depan yang lebih tenang.
Sebuah siri yang diperkaya dengan keindahan seni batik, Namamu Cinta akan ditayangkan secara eksklusif di Tonton bermula 14 Februari ini. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.