Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyerbu 4 pusat pelacuran di Petaling Street, Kuala Lumpur telah membuak rasa marah Namawee sehingga beliau meminta agar aktiviti pelacuran ‘dihalalkan’ di Malaysia.

DBKL dalam hantaran terbaharu di Facebook telah berkongsi kepada umum penahanan 36 wanita warga asing yang dipercayai pekerja seks, pemeriksaan 11 lelaki tempatan dan warga asing yang dipercayai pelanggan di 4 lokasi tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berikutan daripada tindakan itu, pengarah filem dan artis hip hop yang penuh kontroversi Namewee telah menggesa agar pusat pelacuran dibenarkan beroperasi di Malaysia, sambil beliau memberitahu kepada pihak berkuasa bahawa aktiviti ini banyak manfaat.

Dia menulis, “Polis Malaysia hanya berani menangkap wanita miskin ini, N*ama jika anda berani, pergi tangkap perompak, pembunuh dan penipu, dan kemudian ambil gambar seperti ini dan siarkan [kepada umum] untuk menunjukkan betapa baiknya anda.”

“‘Membenarkan pusat pelacuran boleh mengurangkan kadar jenayah serangan seksual dan mengurangkan kadar perempuan simpanan yang akan memusnahkan keluarga. Lebih-lebih lagi, kerajaan boleh mengawal pemilik ini dengan berkesan, menetapkan penggunaan kondom, mengawal penyakit kelamin secara berkesan dan mengadakan pemeriksaan fizikal secara berkala untuk pelacur,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa kerajaan boleh mengenakan cukai kepada premis yang menjalankan aktiviti ini. Dengan wang tersebut, kerajaan mampu untuk menjadikannya sebagai promosi untuk menarik pelancong hadir ke Malaysia.

“Malah, ia sama seperti ‘menghalalkan ganja’ dan ‘menghalalkan perjudian’. Jika anda mengharamkannya, ia masih ada, maka lebih baik untuk menghadapinya, menyelesaikan masalah dan menukar kekalahan berganda kepada situasi menang-menang.”

Cadangan Namewee ini mendatangkan komen yang pelbagai daripada netizen yang memandang serius isu tersebut.

Kebanyakan mereka menyatakan bahawa negara Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama yang pelbagai, agak sukar untuk semua orang bersetuju bahawa aktiviti ini patut dihalalkan.

Sebahagian pula menyatakan bahawa mereka faham apa yang cuba disampaikan oleh Namewee, namun masih mempersoalkan keberkesanannya dalam mengurangkan perangai suami yang tidak setia.

Untuk rekod, Namewee salah faham apabila beliau menyebut bahawa pihak polis yang bertanggungjawab melaksanakan serbuan tersebut, tetapi sebenarnya serbuan itu dilakukan oleh DBKL.