Terdapat perkembangan baharu yang mengejutkan dalam kes kematian seorang pempengaruh wanita dari Taiwan yang dikenali sebagai Nursing Goddes yang ditemui mati dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, pada 22 Oktober lalu.
Mangsa, nama sebenarnya Hsieh Yun Hsin, berusia 31 tahun, dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri dalam tab mandi oleh pihak hotel sekitar jam 1.40 tengah hari. Dia sebelum itu baru tiba di Malaysia pada 20 Oktober melalui KLIA1.
Yang lebih mengejutkan apabila penyanyi rap kontroversi Namewee (Wee Meng Chee), 42 tahun, turut berada dalam bilik sama ketika kejadian.
Kehadiran 2 selebriti popular itu di situ dilaporkan atas tujuan untuk membincangkan tentang kolaborasi. Namun ternyata ianya berakhir tragedi.
Namewee kemudian ditahan pihak polis selepas didapati memiliki dan menggunakan dadah, dan siasatan awal ketika itu diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR).
Namun kini, kes berkenaan telah berlaku ‘plot twist’ yang tidak diduga.
Dipetik daripaada sumber Harian Metro, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dalam kenyataan terbaru mengesahkan bahawa hasil siasatan mendalam menyebabkan polis mengklasifikasikan semula kes ini sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kes ini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” kata beliau.
Difahamkan, Namewee akan ditahan semula dalam masa terdekat bagi membantu siasatan selepas pertukaran klasifikasi kes itu.
Mayat Hsieh Yun Hsin telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.
Kes ini mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial, terutama kerana ia melibatkan figura seni yang sering menjadi perhatian dengan karya dan kenyataannya yang lantang.
Setakat ini, polis belum mendedahkan punca sebenar kematian** dan keputusan penuh bedah siasat masih ditunggu.