Pemengaruh kelahiran Israel, Nas Daily, atau nama sebenarnya Nuseir Yassin, kelihatan ‘koyak’ selepas satu insiden di Tokyo melibatkan pertembungan dengan aktivis pro-Palestin sehingga beliau mengumumkan bakal meninggalkan Instagram.

Ketika mengadakan pertemuan bersama pengikutnya, dia dikejutkan dengan kehadiran kumpulan penunjuk perasaan yang menyatakan solidariti terhadap Palestin, mendesak agar Nas mengubah pendiriannya.

Dalam pertemuan tersebut, aktivis pro-Palestin membawa mesej keras, menolak normalisasi terhadap penjajahan Israel.

Satu kenyataan dari pengguna media sosial berbunyi, “Tokyo berdiri bersama Palestin: Zionis dan normalisasi tak dialu-alukan di sini,” menunjukkan kemarahan terhadap sebarang bentuk sokongan kepada Israel.

Protes ini menjadi salah satu sebab mengapa Nas Daily akhirnya memutuskan untuk meninggalkan Instagram buat sementara waktu, dan mengalihkan perbincangan politiknya ke platform lain, iaitu X (sebelumnya Twitter).

Dalam satu hantaran Instagram Story, Nas menjelaskan bahawa dia ingin mengekalkan Instagram bebas daripada politik dan memindahkan semua kandungan berkaitan isu politik ke akaun X dengan menggunakan nama penuh, Nuseir Yassin.

Dalam satu hantaran di X, Nas menyatakan bahawa dia juga mahukan Palestin merdeka, namun turut menegaskan pendiriannya untuk membebaskan Palestin daripada Hamas, keganasan, dan radikal.

Walaupun beliau cuba menunjukkan sikap neutral dan terbuka, ia tidak diterima oleh kumpulan penunjuk perasaan tersebut, yang menurutnya hanya mahu Palestin dibebaskan daripada Yahudi.

Isu Palestin-Israel sememangnya sangat sensitif, terutamanya dalam kalangan penyokong Palestin di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Nas Daily, yang lahir sebagai seorang Israel, sering menjadi sasaran kritik kerana sikapnya yang dilihat tidak cukup tegas dalam menyokong Palestin.

Insiden di Tokyo ini menambah satu lagi kontroversi terhadap Nas Daily sehingga beliau benar-benar ‘koyak’.