Satu masa dahulu kriptowang menjadi sebutan dan rebutan ramai kerana ia dianggap sebagai ‘sumber baharu’ kekayaan masa kini. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini banyak isu-isu yang timbul sehingga menyebabkan kriptowang menjadi ‘neraka digital’ yang menyebabkan ramai individu terlibat dengannya kerugian, bahkan ada yang terus muflis dalam masa singkat, seperti Sam-Bankman Friend.
Berita yang menggemparkan dunia itu juga telah menarik perhatian Nas Daily, pembina konten digital dari Israel yang pernah berjumpa dengan Sam dan memuat naik video mereka pada bulan Januari lalu.
Baca Juga:
- Hanya Dalam Tempoh Sebulan, Bilionair Kriptowang Ini Jatuh Bankrap Selepas Rugi RM74 Bilion
- Hanya Dalam Satu Malam, Bilionair Kriptowang Ini Alami Penyusutan Kekayaan Sehingga 94%
- Sanggup Berhabis RM700,000, Nas Daily Puas Hati Dapat Lihat Keindahan Malaysia
Menurut Nas Daily, dia telah terbang dari Dubai ke Bahamas menggunakan duit poket sendiri untuk bertemu dengan Sam yang baru berusia 29 tahun, yang pada itu Nas Daily menganggap Sam sebagai seorang ‘bilionair paling dermawan di dunia’ kerana dia mempunyai USD22 bilion hasil daripada aktiviti kriptowang dan mahu sedekahkan kesemua wang tersebut ke badan kebajikan.
Bagaimanapun kekaguman Nas Daily terhadap Sam bertukar menjadi satu kekecewaan dan kemarahannya selepas FTX, syarikat yang diasaskan Sam menjadi muflis ekoran skandal penyalahgunaan dana pelanggan.
“Selepas 9 bulan bertemu dengan Sam, syarikat Sam telah bankrup. Ini bukan bankrup yang biasa tetapi ia adalah satu skandal penipuan. Sam cuba menyembunyikannya, tetapi orang ramai telah tahu kebenarannya pada minggu lalu.
“Dana pelanggan telah hilang berbilion-bilion. Kawan saya telah melabur kesemua wang simpanannya dan semuanya telah hilang pada minggu lalu.
“Ini adalah skandal terbesar di dalam sejarah dunia mata wang kripto yang mengejutkan ramai pihak. Saya berasa amat sedih untuk kawan saya, dunia kripto dan lebih-lebih lagi dalam dunia badan kebajikan,” luah kekecewaan Nas Daily dalam video Instagram terbaharunya.
Apabila anda membuka video YouTube itu, Nas Daily telah menambah perkataan [FRAUD] pada tajuk dan menambah caption video serta komen bahawa video tersebut akan dipadamkan daripada channel Nas Daily dalam tempoh 24 jam.
“AMARAN: Video akan dipadamkan dalam masa 24 jam. Ternyata banyak penipuan berlaku di sini, dan ia menimbulkan kemarahan. Google FTX untuk maklumat lanjut.
“Nah, perkara ini tidak menjadi lebih baik lagi. Malangnya, terdapat perkara yang disembunyikan Sam yang baru sahaja terdedah mengenai FTX. Video ini tidak bermakna lagi. Ia akan dipadamkan dalam masa 24 jam!” petik perkongsian Nas Daily.
Terdahulu Nas Daily telah terbang dari Dubai ke Bahamas untuk bertemu dengan Sam untuk merekod konten video bagaimana Sam mahu menyedekahkan kesemua USD22 bilion kepada badan kebajikan.
Bagaimanapun syarikat kendalian Sam, FTX baru-baru ini telah diisytiharkan muflis selepas pendedahan skandal salah laku pengendalian aset kriptowang pelanggan sehingga menyebabkan ramai pelanggan dan pelabur melarikan diri daripada salah satu platform pertukaran kripto terbesar di dunia.