Seorang pengarah syarikat berputih mata selepas mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM10 juta akibat terpedaya dengan tawaran projek penyelenggaraan jalan raya yang tidak wujud di sebuah negeri di Pantai Timur.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berhubung kes penipuan berkenaan daripada mangsa pada kelmarin, petik Harian Metro.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa telah diperkenalkan kepada seorang individu pada tahun 2024 yang menawarkan peluang kerjasama bagi memperoleh projek berkenaan. Terpedaya dengan tawaran tersebut, pengadu telah melakukan dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM10 juta ke dalam akaun peribadi suspek.

Walau bagaimanapun, hasil semakan yang dilakukan oleh pengadu pada tahun 2025 mendapati projek yang dijanjikan itu sebenarnya tidak wujud. Pengadu yang cuba mendapatkan penjelasan daripada suspek hanya diberikan pelbagai alasan sebelum menyedari dirinya telah ditipu dan bertindak membuat laporan polis.

Hoo berkata, siasatan kes masih berada pada peringkat awal dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tambah beliau, proses siasatan kes jenayah komersial secara umumnya memerlukan dokumentasi yang lengkap serta rakaman kenyataan saksi secara terperinci bagi memastikan bukti yang mencukupi dikumpul sebelum sebarang tangkapan dijalankan untuk tindakan pendakwaan di mahkamah.

Sumber