Proses pengambilan pekerja sektor awam kembali mendapat perhatian umum selepas tularnya satu hantaran pembukaan kerja kosong di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah Kedah.

Menurut laporan Majoriti, Hantaran tersebut, yang melibatkan jawatan Pembantu Awam dan Pekerja Sambilan Harian Pembantu Awam, telah dimuat naik dalam sebuah kumpulan Facebook penduduk tempatan dan telah menerima lebih 900 komen sejak 16 Mei lalu.

Baca Juga:

Majoriti warganet yang memberikan komen dilihat tidak percaya terhadap proses pengambilan pekerja untuk jawatan tersebut.

Terdapat dakwaan bahawa kekosongan jawatan tersebut sebenarnya sudah mempunyai calon tertentu dan pembukaan permohonan hanya sekadar memenuhi syarat formaliti.

“Buang masa apply. Jenis ambil adik-beradik depa sahaja,” tulis Syakila Yahaya, mencerminkan ketidakpercayaan beliau terhadap integriti proses pengambilan pekerja.

Kritikan juga diberikan terhadap kaedah permohonan yang dianggap ketinggalan zaman. “Dah 2024 tapi masih jual borang di kaunter? Kenapa tak buat permohonan dalam sistem sahaja? Lemahhh,” kata Mohamad Nasri Ahmad Shukri.

Komen-komen sinis turut mencerminkan pandangan umum bahawa pekerjaan dalam perkhidmatan awam sering kali dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja.

Jan Nirrajim, sebagai contoh, menulis senario yang menyindir tentang bagaimana jawatan di sektor ini seolah-olah diwarisi dalam kalangan keluarga tertentu sahaja.

Ramai yang mendesak agar pihak PBT tampil memberi penjelasan berhubung isu ini untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap ketelusan proses pengambilan pekerja.

“Assalamualaikum pihak ****** ****** *** masihkah lagi anda mahu berdiam diri atau saja buat-buat tak nampak dengan apa yang dikatakan rata-rata anak muda dan penduduk *** berkenaan pengambilan baharu?” tulis Najdi Ady Kdh, menyeru tindakan segera dari PBT tersebut.

PBT terbabit belum memberikan sebarang respons rasmi terhadap dakwaan dan komen negatif yang dikongsi oleh warganet.

Bagaimanapun, isu ketelusan dalam pengambilan pekerja ini bukanlah perkara baru dan sering kali menjadi ‘rahsia umum’ yang terus diperkatakan tanpa penyelesaian tuntas.