Seorang nenek berusia 70 tahun di Thailand menyangka telah kehilangan kesemua wang simpanan hidupnya selepas menjadi mangsa penipuan pusat panggilan (call centre scam).
Sebaliknya, dia pulang dengan hampir RM300,000 lebih kaya—satu plot twist yang tidak dijangka oleh sesiapa, termasuk si scammer itu sendiri.

Memetik mStar, Scammer tersebut menghubungi wanita warga emas itu dan mendakwa akaun banknya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Mereka memberitahunya bahawa akaun itu akan dibekukan dan menekannya agar bekerjasama.
Kerana takut menghadapi masalah undang-undang, dia panik lalu memindahkan lebih 410,000 baht (RM52,800) ke akaun Hong Kong seperti yang diarahkan oleh sindiket tersebut.
Selepas pemindahan itu, scammer tersebut terus memanipulasi wanita itu dengan mendakwa baki wangnya akan lebih selamat dalam bentuk emas. Mereka mengarahkannya membeli jongkong emas secara berperingkat.
Kerana mempercayai mereka, wanita itu menggunakan wang simpanannya untuk membeli emas bernilai lebih 14 juta baht (RM1.8 juta). Namun, dia akhirnya berasa curiga dan membuat laporan polis pada 17 Oktober.
Pihak polis Thailand kemudian merancang perangkap dengan kerjasama wanita itu. Sindiket tersebut kemudian mengarahkannya meletakkan jongkong-jongkong emas itu di dalam tin susu tepung dan membawanya ke lokasi pertemuan.
Para pegawai polis menyamar sebagai seorang penghantar barang dan penunggang teksi motosikal. Apabila seorang lelaki warga Hong Kong muncul untuk mengambil emas tersebut, mereka menangkapnya di tempat kejadian.

Siasatan mendedahkan bahawa dia adalah pengutip bagi kumpulan penipuan itu dan telah melebihi tempoh visa pelancongnya di Thailand.
Selepas kes itu selesai, wanita itu menjual kesemua emas yang dibelinya. Secara kebetulan, harga emas global telah melonjak kira-kira 15% dalam tempoh tersebut, menyebabkan nilai emas yang dibelinya melambung tinggi kepada 16.7 juta baht (kira-kira RM2.1 juta).
Oleh itu, dia memperoleh keuntungan sebanyak 2.7 juta baht (kira-kira RM345,000). Walaupun selepas ditolak kerugian awal 410,000 baht yang dipindahkannya, dia masih mencatat untung bersih kira-kira 2.3 juta baht (kira-kira RM295,000).