Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman kini muncul pemain tempatan termahal dalam saingan Liga Malaysia apabila nilainya di pasaran telah melambung.

Menerusi kemaskini di laman sesawang transfermarkt.com, nilai pasaran pemain yang berusia 21 tahun itu telah meningkat sehingga mencecah RM2.82 juta (550,000 euro) berbanding RM638,000 tahun lalu.

Baca Juga:

Ianya lebih mahal daripada penyerang import JDT, Bergson Da Silva yang kini bernilai 450,000 euro (RM2.30 juta) dan juga penjaring terbanyak Liga Super, Ayron Del Valle, 400,000 euro (RM2 juta)

Dalam skuad JDT, Arif Aiman adalah pemain keempat paling mahal di belakang Jordi Amat, Takahiro Kunimoto dan Fernando Forestieri berdasarkan paparan di transfermarkt.

Peningkatan pola nilai pasaran pemain itu dalam tempoh dua tahun adalah berdasarkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super, AFC Champions League (ACL) dan juga bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Bermula daripada Akademi JDT pada 2018, Arif menaiki tangga demi tangga menerusi JDTIV, JDT III, JDT II dan sehinggalah ke skuad senior.

Namanya bukan sahaja gah di Malaysia malah turut menarik perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menyenaraikan Arif Aiman sebagai pemain tumpuan di Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Malah, nilai Arif Aiman Hanapi diramalkan boleh mencapai sehingga lebih RM7.5 juta dalam tempoh lima tahun lagi.

“Secara dasarnya, peningkatan nilai pasaran ini bergantung kepada prestasinya, pasukan yang diwakilinya serta persembahan bersama pasukan kebangsaan.

“Kita harus ingat dia masih lagi muda dan banyak lagi peningkatan yang boleh ditunjukkan. Dia pun dengan pasukan yang bagus, cemerlang dalam liga dan beraksi di pentas tertinggi Liga Juara-Juara Asia,” kata Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdulla.

Arif Aiman dijangka meletup pada musim depan apabila telah melanjutkan kontraknya bersama juara ‘double quadruple’ itu.

Untuk rekod,  beliau telah menjaringkan 24 gol dan melakukan 19 bantuan jaringan sepanjang bersama JDT musim ini.

Beliau juga bakal mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) buat kali ketiga berturut-turut.