Hari ini peminat hiburan tempatan dan luar negara berasa sangat kecewa kerana acara Good Vibes Festival telah dibatalkan sepenuhnya. Semuanya ‘terima kasih’ kepada penyanyi kumpulan The 1975, Matty Healy yang buat onar ketika membuat persembahan di GVF malam semalam.

Minoriti peminat The 1975 merasakan apa yang dibuat Matt adalah satu ‘perkara biasa’ yang biasa ditunjukkan beliau di atas pentas. Namun aksinya kali ini sangat melampau dan telah melanggar batas dan peraturan.

Baca Juga:

Agak kelakar mengapa Matt boleh berkelakuan baik ketika membuat persembahan di Singapura selama dua hari pada Selasa dan Rabu lalu tetapi bertindak kurang ajar ketika tiba di Malaysia.

Susulan itu, satu rakaman video penyanyi legenda kumpulan dari United Kingdom, Oasis iaitu Noel Gallagher mula tular di TikTok dan Twitter.

Dalam video temu bual bersama NME sebulan yang lalu, Noel telah berkongsi pandangannya tentang kumpulan tersebut.

“Oasis mempengaruhi banyak orang untuk memulakan kumpulan. Anda sama ada jadi rock, atau kumpulan The 1975. Ketika Brit Awards, mereka ada menang kategori Rock Terbaik.

“Saya melihat mereka dengan anak remaja saya dan berkata kepada mereka adakah saya sudah tua atau mereka ini ‘sampah’? Dan mereka setuju dengan pandangan saya.

“Kumpulan Rock terbaik? Ada seseorang perlu definisikan semula istilah rock kerana bagi saya, itu bukan rock,” kata Noel.

Sebelum ini Matt pernah mengeluarkan kenyataan untuk Noel dan abangnya Liam ‘jadi dewasa’ dan kembali bersama dalam Oasis.

Berdasarkan komen pengguna media sosial, majoriti antara mereka membeli tiket ke Good Vibes Festival adalah kerana sebuah lagi kumpulan rock, The Strokes dan bukannya The 1975.

Selepas terbatalnya acara ini secara rasmi, maka terbatal juga impian para peminat The Strokes untuk menyaksikan persembahan kumpulan kegemaran mereka secara live pada Ahad.