Pembatalan acara Good Vibes Festival susulan insiden yang ditimbulkan oleh band dari UK telah mengundang rasa marah pelbagai pihak kerana terpaksa menanggung ‘kerugian besar’ dari segi masa, tenaga dan juga wang ringgit.

Antara pihak yang terkesan adalah vendor makanan. Beberapa pengusaha bisnes makanan tampil meluahkan kekecewaan menerusi media sosial masing-masing apabila mengetahui acara festival tersebut dibatalkan serta-merta dalam masa yang singkat.

Baca Juga:

Menurut pengusaha Sausage Sizzle, Nazri Adam, keputusan yang dibuat itu telah menjejaskan peniaga-peniaga makro yang berharap dapat melonjakkan jualan melalui acara festival tersebut.

“Tahun ini semakin mencabar, peluang untuk masuk acara ini (Good Vibes Festival) bukan boleh dapat selalu. Saya harap pihak kerajaan dapat pertimbangkan semula keputusan yang dibuat telah menjejaskan kami (vendor makanan).

“Ada antara kami yang membelanjakan kira-kira RM15,000 untuk membeli stok makanan sempena acara ini berlangsung. Kos tersebut tidak termasuk sewa, kemudahan, logistik dan ‘masa’ yang kami semua gunakan untuk persediaan kesemua makanan bagi festival ini,” terang Nazri.

Manakala pengusaha Beard Brothers BBQ, Nazri Jameson pula menyuarakan pendapat bahawa artis sepatutnya melakukan ‘kerja hakiki’ yang sepatutnya — membuat persembahan terbaik kepada penonton — sama seperti pengusaha vendor makanan yang mahu ‘mengenyangkan’ perut pengunjung festival tersebut dengan makanan yang terbaik.

“Kepada semua artis yang datang membuat persembahan, tolong buat kerja anda dan pulang dengan baik. Tidak perlulah membawa agenda politik masing-masing.

“Saya faham semua orang mahu teruskan kehidupan (bekerja), bekerjalah dengan baik. Buatlah pilihan yang betul dan perkara yang betul,” luah Nazri.

Menerusi komen-komen yang dikongsikan netizen, orang ramai memberikan sokongan kepada vendor-vendor makanan terjejas dan berharap ada pihak dapat membuat ‘festival makanan’ di lokasi berlainan supaya mereka dapat meneruskan perniagaan menghabiskan stok yang masih banyak ketika ini.

Gara-gara sekumpulan ‘pemuzik sampah’ yang tidak mempunyai fanbase seramai The Strokes buat hal — habis semua pihak terkena tempias ‘palat’ mereka.

Kasihan semua pihak yang bertungkus-lumus sejak beberapa bulan lalu untuk menjayakan festival itu.

Semoga semua pihak ambil iktibar terhadap insiden terjadi dan perkara ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.