Sebuah firma Managing Partner of Thomas Philip menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada semua artis dan penganjur yang terkesan dengan sikap tidak senonoh kumpulan dari British, The 1975 pada acara Good Vibes yang berlangsung minggu ini.

Aksi lucah dan tidak menghormati undang-undang Malaysia oleh kumpulan The 1975 telah menyebabkan acara Good Vibes yang dijadualkan berlangsung selama 3 hari terpaksa dibatalkan selepas mendapat arahan daripada Fahmi Fadzil, Menteri Perhubungan dan Digital.

Baca Juga:

Dalam satu hantaran oleh pengguna Facebook, John Lau menyatakan kesudian salah seorang rakan kongsi firma guaman Managing Partner of Thomas Philip untuk mewakili pihak-pihak yang terkesan oleh tindakan vokalis utama The 1975.

“Dia [Mathew Thomas Philip] sanggup mewakili mereka dalam tindakan menentang The 1975. Hubungi dia dan pasangannya Tjun Tjunnie yang juga kawan rapat saya.

“Bagi mereka yang tidak tahu, mereka [Mathew dan Tjun] juga merupakan pemilik studio Drum-Asia dan telah lama menyokong pelbagai jenis muzik. Jangan biarkan aksi 1 kumpulan bodoh itu meruntuhkan seluruh dunia muzik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau juga menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku semasa kejadian. Mengenai persoalan mengapa muzik tidak dihentikan, difahamkan bahawa The 1975 telah membawa masuk pasukannya sendiri dan pengurusan Good Vibes tidak dibenarkan masuk di kawasan kawalan bunyi.

Selain itu, vokalis The 1975 terkenal dengan aksi gimik beliau yang sering melakukan tindakan melulu dan tidak menghormati undang-undang negara di mana mereka melakukan persembahan. Kejadian sama pernah terjadi semasa The 1975 membuat persembahan di Dubai.

“Semua kumpulan diberi taklimat yang jelas mengenai etika panggung yang dibenarkan oleh kerajaan Malaysia sebelum datang ke Kuala Lumpur.

“Ini adalah dokumen biasa yang ditandatangani oleh artis melalui agensi tempatan kami Puspal. Jadi mereka tahu [apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di Malaysia].

“Ini bukan mengenai perjuangan hak LGBTQ, ia mengenai individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba menggunakan negara kita untuk mencari publisiti murahan,” katanya.