Mahkamah Rayuan kelmarin memutuskan bahawa seorang ahli perniagaan merupakan pemilik sah nombor pendaftaran kenderaan ‘A9’, sekali gus mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyerahkan semula nombor ‘bertuah’ tersebut kepada beliau.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Lim Hock Leng, bersama Hakim Choo Kah Sing dan Hakim Latifah Tahar.
Baca Juga:
- Padah Nombor Plat ‘Fancy’ & LKM ‘Mati’, JPJ Selangor Sita Lamborghini

- JPJ Lancar Aplikasi ‘JPJvBID’, Boleh Bida Kereta Lelong Guna Telefon Pintar Mulai 1 April

- Orang Ramai Mengeluh Selalu Habis Awal, JPJ Laksana Nombor Giliran Tanpa Had Sejak Januari Lalu

Memetik Free Malaysia Today, mahkamah mengarahkan Ketua Pengarah JPJ dan pendaftar berlesennya untuk melaksanakan urusan penyerahan semula nombor plat tersebut kepada perayu, Yeong Oon Kong, dalam tempoh 30 hari.
Kronologi Pertikaian Hak Milik
Kes ini bermula apabila Yeong, 73, membeli nombor plat ‘A9’ pada tahun 2016 untuk kereta klasik Fiat Ardita 1938 miliknya. Beliau mempercayai nombor tersebut bakal membawa tuah.
Bagaimanapun, tanpa pengetahuan beliau, nombor itu sebenarnya pernah dimiliki oleh seorang individu bernama Lau pada tahun 2013.
Pemilikan asal Lau terhadap tiga nombor plat (A9, P8, dan P9) telah dibatalkan oleh JPJ pada tahun 2013 susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menemui unsur ketidakteraturan dalam proses perolehannya.
Lau kemudiannya memfailkan semakan kehakiman mencabar pembatalan tersebut. Pada Mac 2019, Mahkamah Tinggi memihak kepada Lau dan mengarahkan JPJ memulangkan ketiga-tiga nombor berkenaan, yang secara tidak langsung membatalkan hak milik Yeong yang didaftarkan pada 2016.
Penggunaan ‘Teori Aktor Kedua’
Memetik laporan itu lagi, Hakim Lim Hock Leng menjelaskan bahawa mahkamah mengguna pakai ‘Teori Aktor Kedua’ (second actor theory) berdasarkan duluan undang-undang Mahkamah Persekutuan (kes Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd v Prema Bonanza Sdn Bhd).
Menurut mahkamah, walaupun pembatalan hak milik Lau pada 2013 oleh Pengarah JPJ Selangor (aktor pertama) kemudiannya diputuskan sebagai tidak sah oleh mahkamah, keputusan pembatalan itu masih ‘wujud dan sah’ pada waktu Pengarah JPJ Wangsa Maju (aktor kedua) mendaftarkan nombor ‘A9’ kepada Yeong pada 2016.
“Penggunaan teori ini bertujuan mengekalkan kepercayaan orang awam terhadap daftar rasmi JPJ. Perayu (Yeong) adalah pihak ketiga yang bertindak atas niat suci hati (bona fide purchaser) dan berhak bergantung kepada maklumat sistem pendaftaran pada waktu tersebut,” kata hakim.
Keputusan Akhir
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengisytiharkan pendaftaran Yeong sebagai terbatal. Selain arahan penyerahan semula nombor plat, mahkamah turut memerintahkan JPJ membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Yeong. Tiada perintah kos dikenakan terhadap Lau.
Dalam prosiding ini, Yeong diwakili oleh barisan peguam yang diketuai oleh Malik Imtiaz Sarwar, manakala Lau diwakili oleh Shafee Abdullah. Peguam Kanan Persekutuan Shariah Shapiee bertindak bagi pihak JPJ.