Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada mengakui keperluan utama kelab tersebut mengadakan siri perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan Hong Kong pada penghujung Mei nanti.

Dengan kewangan yang kian meruncing, siri jelajah ke benua Asia ini amat diperlukan dalam usaha untuk mendorong kepada peningkatan kantung kelab.

Baca Juga:

Perlawanan bertemu ASEAN All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil berlangsung pada 28 Mei iaitu hanya selepas tiga hari aksi terakhir English Premier League (EPL) 2024/25 bertemu Aston Villa.

Seperti dilaporkan sebelum ini, lawatan tersebut bakal memberikan United sebanyak £7.96 Juta dimana ia merupakan satu angka besar yang akan membantu meringankan beban kewangan kelab.

United sebelum ini turut mengesahkan pusingan kedua pemberhentian pekerja yang akan menyebabkan sehingga 200 kakitangan kehilangan pekerjaan.

Walaupun membawa hasil yang besar daripada pendapatan komersial, hari perlawanan dan penyiaran, United telah kehilangan lebih daripada £300 juta dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Omar Berrada
Kredit Foto: Manchester United

Komen Omar Berrada Mengenai Jelajah Asia 2025

“Perlawanan dalam lawatan ini memberikan pendapatan tambahan yang signifikan dalam membantu memperkukuhkan kelab, membolehkan kami terus melabur dalam kejayaan di atas padang,” ujar Omar Berrada menurut sumber laporan ESPN.

“Lawatan ini juga mencipta peluang unik untuk kami bekerjasama dengan rakan komersial yang dihargai, serta mengeratkan lagi hubungan dengan peminat kami di kawasan seperti Asia dan Amerika Syarikat.”

“Kami menghargai sokongan luar biasa yang dinikmati oleh Manchester United di seluruh dunia dan pada musim panas ini.”

“Kami berbesar hati untuk menyampaikan jadual yang memberikan peluang kepada peminat kami di Asia, Scandinavia, dan Amerika Syarikat untuk berhubung dengan kelab serta menyaksikan pasukan utama kami bermain secara langsung di lokasi tempatan.”

Selepas menyelesaikan lawatan ke Asia itu, persiapan United untuk musim 2025-26 dijangka bermula kurang daripada sebulan kemudian dengan perlawanan persahabatan menentang Leeds United di Stockholm pada 19 Julai.

Kem The Red Devils kemudiannya dijadualkan akan terbang ke Chicago pada 22 Julai untuk tiga perlawanan di Amerika Syarikat bertemu Everton, West Ham dan Bournemouth.

Difahamkan, musim baharu EPL dijangka bermula pada 16 Ogos.

Sumber