Pada kali ini, OPPO Watch X telah diperkenalkan sebagai sebuah jam tangan pintar flagship baharu yang serba lengkap dengan pelbagai ciri menarik dan paling utama sekali sudah pastinya kemampuan jangka hayat bateri yang cukup lama.
Kami turut mencuba model terbaru OPPO Watch X ini untuk menguji prestasi penggunaan seharian di samping melihat sejauh mana kebenaran tentang jangka hayat baterinya. Anda boleh meneruskan bacaan untuk mengetahui lanjut berhubung OPPO Watch X ini.
Rekaan & binaan yang bagus
OPPO Watch X ini sememangnya mempunyai rekaan yang cukup premium sekaligus sangat sesuai digunakan untuk acara kasual atau formal. Malah, jam ini didatangkan bersama kerangka jenis stainless steel serta padanan strap getah yang berkualiti.
Dari segi binaan, ia memang bagus kerana tampil ringan ketika dipakai dan juga mempunyai pelindung kaca kristal sapphire. Sewaktu penggunaan jam ini, kami ada terlanggar dinding atau halangan namun tiada kesan calar setakat ini.
Paparan skrin yang bagus
Jam tangan pintar ini hadir dengan paparan skrin 1.43-inci AMOLED dengan kecerahan maksimum 1,000 nits yang mana terbukti sangat membantu di dalam aktiviti seharian. Anda boleh mengakses masa atau menavigasi aplikasi atau ciri dengan mudah walaupun berada di tempat terbuka atau pencahayaan terang.
Malah, skrin jam ini berjaya mempamerkan warna yang cukup vibran serta paparan teks dengan jelas. Jadi, anda boleh membaca notifikasi atau membalas mesej dengan baik menerusinya.
Semua urusan di hujung jari
OPPO Watch X berjaya membuktikan bahawa jam ini sangat berguna kerana boleh melakukan sejumlah perkara dengan hanya di hujung jari sahaja.
Dengan penggunaan sistem WearOS dari Google padanya, ia membolehkan anda mengakses aplikasi kegemaran anda, menavigasi peta, membuat pembayaran dengan Google Pay dan juga mendapatkan bantuan Google Assistant.
Menariknya, anda boleh menetapkan butang fizikal di tepi jam sebagai akses pantas kepada aplikasi tertentu atau melancarkan ciri aktiviti kecergasan dan sebagainya. Setiap aplikasi kecergasan dan kesihatan untuk pemantauan diri sendiri juga mudah digunakan.
Ketahanan bateri yang menakjubkan
Memang tidak dinafikan, ketahanan bateri pada OPPO X Watch sangat bagus kerana dengan sekali pengecasan sahaja boleh bertahan sehingga empat hari lamanya.
Ini merupakan jangka hayat bateri paling lama dalam jam tangan pintar WearOS yang pernah kami gunakan setakat ini.
Ini mampu dilakukan kerana Watch X menggunakan dwi-sistem operasi, dimana sistem operasi WearOS menguruskan tugasan utama seperti sokongan aplikasi atau membuka GPS, sementara sistem operasi RTOS dijalankan ketika dalam mod paparan waktu biasa.
Malah, jam tangan pintar ini mempunyai mod power saving yang mana bakal memastikan jam tangan pintar anda boleh beroperasi untuk tempoh jangka masa yang lama tetapi akan dihadkan fungsinya.
Adakah berbaloi?
Tidak hanya tampil elegan, malah OPPO Watch X kini muncul sebagai sebuah jam tangan WearOS yang memiliki jangka hayat bateri paling lama buat masa ini di dalam pasaran.
Pada pandangan kami, OPPO Watch X bukan sahaja berjaya memberikan pengalaman penggunaan yang sangat baik di samping memiliki prestasi jangka hayat yang bagus pada tanda harga yang berpatutan.
Pelayaran harian yang sangat lancar dan responsif membenarkan sebarang aplikasi atau pengimbasan kesihatan dilakukan dengan pantas. Namun, terdapat beberapa kekurangan pada jam tangan pintar ini seperti gegaran notifikasi yang agak perlahan dan juga customization pada tetapan menu yang agak terhad.
Buat anda yang berminat, OPPO Watch X kini boleh dipratempah pada harga RM1,299 sahaja. Harga asalnya adalah RM1,399 dengan pilihan warna Platinum Black dan Mars Brown.
Promosi ini bakal berlangsung bermula hari ini sehinggalah 21 April dan layak menerima satu lagi tali jam tambahan pada harga RM1 sahaja.