Menurut Laporan Kualiti Hidup HSBC 2024, rakyat Malaysia berpendapatan tinggi menyatakan bahawa mereka memerlukan kira-kira AS$830,000 (RM3.61 juta) untuk menikmati hidup yang lebih selesa bila bersara nanti, lapor NST.

Angka ini lebih rendah berbanding sasaran mereka yang berada di Hong Kong (AS$1.08 juta) dan Singapura (AS$980,000), namun jauh lebih tinggi berbanding sasaran di India (AS$390,000) dan Indonesia (AS$340,000).

Laporan HSBC 2024 ini memperincikan individu berpendapatan tinggi sebagai kumpulan yang memiliki aset boleh labur sebanyak AS$100,000 hingga AS$2 juta, dan mengkaji lebih 11,000 individu berpendapatan tinggi di 11 pasaran, termasuk Malaysia.

Sebanyak 73 peratus daripada rakyat Malaysia yang disoal selidik menyatakan bahawa mereka berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat bila bersara nanti.

Malah, hampir separuh (48 peratus) daripada mereka juga mengakui ingin terus bekerja selepas bersara.

Menurut Ketua Perbankan Kekayaan dan Peribadi HSBC Malaysia, Linda Yip, untuk mencapai tahap persaraan yang selesa memerlukan lebih daripada sekadar simpanan.

“Rancangan kewangan dan pelaburan yang bijak adalah kunci untuk mencapai persaraan yang kita inginkan. Dengan ekonomi Malaysia yang semakin berkembang dan usaha untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, tidak hairanlah golongan ini memperuntukkan hampir 24 peratus daripada pendapatan bulanan mereka untuk pelaburan masa depan.”

Rakyat Malaysia dilihat antara sebagai perancang persaraan yang cekap atau “power planners” dalam kalangan negara-negara yang dikaji.

Menurut laporan, Malaysia berada di kedudukan kedua tertinggi dalam merancang persaraan, dengan 84 peratus menyatakan mereka telah menyusun pelan kewangan yang menyeluruh untuk masa depan.

Tambahan pula, 86 peratus sedar jumlah yang diperlukan untuk bersara, 88 peratus sentiasa meninjau prestasi simpanan mereka, dan 86 peratus lagi konsisten dengan pelan simpanan persaraan mereka.

Selain itu, lebih daripada separuh daripada rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi juga telah menyediakan pelan lengkap untuk keperluan kewangan masa depan mereka.

Perkara ini penting kerana cabaran utama dalam bersara – seperti kesihatan (44 peratus), kos perubatan yang semakin tinggi (40 peratus), dan inflasi yang menghakis nilai simpanan persaraan (38 peratus) – adalah antara kebimbangan utama yang dikongsikan dalam kalangan mereka.

Selain merancang persaraan, 44 peratus daripada golongan berpendapatan tinggi di Malaysia mengutamakan perlindungan insurans sebagai salah satu matlamat kewangan mereka.

Lebih menarik, Malaysia mencatatkan peratusan tertinggi dalam aspek “wealth accumulation power planners”, dengan 72 peratus menyusun strategi kukuh untuk mengumpul kekayaan – lebih tinggi berbanding Singapura (61 peratus), Taiwan (61 peratus), dan Hong Kong (60 peratus).

Keutamaan yang diberikan pada perancangan kewangan dan perlindungan insurans ini mencerminkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai pentingnya mempersiapkan diri untuk masa depan yang lebih stabil dari segi kewangan.