Keadaan Faisal Halim kini ditahap yang amat membimbangkan apabila dilaporkan berisiko bersara awal daripada sukan bola sepak menurut laporan media tempatan.

Pada peringkat awal, Faisal melecur tahap dua tetapi keadaan bertambah parah apabila pegawai perubatan mengesahkan ia kini sudah mencapai tahap empat.

Baca Juga:

Pemain yang berusia 26 tahun itu bakal menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan lagi selepas ini.

Ada juga laporan media mengatakan pembedahan awal mengalami komplikasi yang memerlukan pembedahan tambahan untuk menstabilkan keadaannya.

Akibat kerosakan pada saraf, ada kemungkinan beliau tidak dapat merasai apa-apa lagi pada bahagian lengannya sekaligus mengganggu keseimbangan badannya.

Ini sudah pasti menyebabkan beliau tidak mampu lagi bermain bola sepak pada tahap profesional dan terpaksa bersara serta merta.

“Apa yang saya boleh kata (keadaan Faisal), pergerakan dan percakapan beliau terbatas kerana kesannya ada di bahagian muka (iaitu) pipi, hidung dan mulut ada sikit.

“Di bahagian badan dan tangan belah kiri agak teruk, itu yang jejaskan pergerakan beliau,”jelas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Kejadian simbah asid itu telah menyebabkan negara kini bakal kehilangan seorang bintang yang banyak berjasa. Ia adalah antara hari yang paling gelap dalam bola sepak Malaysia.

Ini adalah kejadian kedua yang melibatkan seorang lagi pemain Harimau Malaya selepas Akhyar Rashid dipukul dan disamun sehingga menerima jahitan di kepala serta kaki pada khamis lepas.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon perlu mencari pemain lain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal dan Akhyar.

Malaysia dijadualkan berdepan Kyrgyzstan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada 6 Jun sebelum menentang Taiwan pada 11 Jun.

Kemenangan amat penting untuk mendapatkan tiket automatik ke Piala Asia 2027 dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.