Penanda aras baharu bagi simpanan persaraan yang mencukupi di bawah kerangka Kecukupan Pendapatan Persaraan (Retirement Income Adequacy, RIA) dianggarkan antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta, sejajar dengan peningkatan kos sara hidup dan jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Ahli Ekonomi Centre for Future Studies Bhd, Dr Mohd Yusof Saari, berkata penentukuran semula dasar pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui RIA dalam Belanjawan 2026 merupakan langkah perlu bagi memastikan simpanan persaraan benar-benar mampu menyokong kehidupan pada usia tua, petik New Straits Times.
Baca Juga:
- Sejumlah Kumpulan ‘Hacker’ Di Dunia Pilih Bersara Awal, Apa Sebabnya?

- Gaji Permulaan RM1,700 Boleh Bersara Dengan Simpanan RM1 Juta Jika Konsisten – KWSP

- Ada Peminjam Dah Bersara Pun Masih Culas Bayar Pinjaman PTPTN

Menurut beliau, peningkatan kos sara hidup, jangka hayat yang lebih panjang serta perubahan struktur pasaran buruh termasuk pertumbuhan ekonomi gig menjadikan penanda aras simpanan terdahulu tidak lagi mencukupi untuk menjamin persaraan yang selamat dan bermaruah.
“Pendekatan lama yang menganggap simpanan RM1 juta sebagai mencukupi membenarkan pengeluaran awal yang besar, sekali gus mendedahkan pencarum kepada risiko kehabisan simpanan pada usia tua,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah mekanisme terdahulu, ahli berumur 50 tahun dengan simpanan RM1 juta boleh mengeluarkan sehingga RM300,000, meninggalkan baki RM700,000.
“Namun, jika tempoh persaraan berlangsung selama 30 tahun sehingga usia 80 tahun, baki tersebut hanya menyediakan kira-kira RM1,940 sebulan, jumlah yang semakin tidak sejajar dengan kos sara hidup semasa, terutamanya apabila mengambil kira inflasi perubatan dan perumahan,” katanya kepada Bisnes Metro.
Beliau berkata RIA diperkenalkan bagi menangani jurang ini dengan menyusun semula penanda aras simpanan berdasarkan keperluan sebenar persaraan.
“Simpanan kini diklasifikasikan kepada tahap ‘Asas’ dan ‘Mencukupi’, dengan pengeluaran awal hanya dibenarkan sekiranya baki simpanan masih mampu menjamin pendapatan persaraan minimum,” katanya.
Bagi ahli yang belum mencapai tahap mencukupi, pengeluaran awal sama ada tidak dibenarkan atau dihadkan dengan ketat, contohnya antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi tujuan yang benar-benar kritikal.
Beliau berkata penanda aras baharu bagi simpanan ‘mencukupi’ yang dianggarkan antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta menunjukkan bahawa ahli berumur 50 tahun dengan simpanan RM1 juta masih belum mencapai tahap kecukupan dan perlu mengekalkan sebahagian besar simpanan mereka bagi melindungi pendapatan persaraan minimum.
“Dalam jangka panjang, langkah ini adalah positif dan kritikal, memandangkan kebanyakan pencarum berisiko menghabiskan simpanan mereka terlalu awal,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Simpanan Asas sekitar RM390,000 hanya mampu menyediakan kira-kira RM1,300 sebulan selama 25 tahun, yang sekadar mencukupi untuk kelangsungan hidup, bukan persaraan yang selesa.
“Tanpa penentukuran semula ini, tekanan kos sara hidup semasa persaraan akhirnya akan ditanggung oleh keluarga dan kerajaan, sekali gus mewujudkan beban fiskal serta potensi krisis sosial dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kesan jangka pendek dasar ini tidak boleh diabaikan, kerana sekatan terhadap pengeluaran awal boleh menjejaskan fleksibiliti kewangan, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah yang berdepan kecemasan kesihatan, kehilangan pekerjaan atau kejutan ekonomi.
Beliau berkata kawalan pengeluaran KWSP tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian tanpa jaringan keselamatan sosial yang kukuh.
“Pada prinsipnya, KWSP melindungi masa depan, manakala bantuan sosial menangani keperluan segera. Tanpa sokongan ini, kumpulan rentan boleh terperangkap antara keperluan tunai mendesak dan simpanan persaraan yang terkunci,” katanya.
Beliau menambah bahawa kejayaan pelaksanaan RIA juga bergantung kepada integrasi dengan dasar sokongan lain, termasuk bantuan kewangan bersasar, perlindungan kehilangan pendapatan, mekanisme kecemasan alternatif di luar KWSP, serta penyelarasan yang lebih rapat antara KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan agensi kebajikan.
Pada masa yang sama, usaha untuk meningkatkan gaji, produktiviti dan literasi kewangan perlu diperkukuh supaya rakyat Malaysia bukan sahaja dilindungi ketika persaraan, malah mampu membina simpanan yang mencukupi sepanjang hayat bekerja mereka.
KWSP dijangka menaikkan ambang simpanan bagi ahli yang mempunyai lebihan baki mulai tahun 2026, sekali gus menawarkan fleksibiliti yang lebih besar dalam perancangan persaraan.