Pensyarah Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak, menyatakan bahawa hakikat simpanan persaraan sebanyak RM1 juta tidak lagi mencukupi untuk menjamin persaraan yang selesa di Malaysia.

Menurut beliau, walaupun kadar inflasi rasmi kelihatan sederhana, komponen perbelanjaan utama seperti penjagaan kesihatan, perumahan dan barangan keperluan harian telah meningkat secara berterusan sepanjang masa, petik The Star.

“Ini menunjukkan bahawa inflasi sebenar yang dialami oleh pesara adalah lebih tinggi berbanding angka agregat yang dilaporkan, terutamanya apabila kos perubatan dan perbelanjaan berkaitan umur panjang terus meningkat.

“Situasi ini turut menyerlahkan cabaran risiko jangka hayat, di mana individu perlu mengagihkan simpanan mereka bagi tempoh persaraan yang lebih panjang, sekali gus menjadikan tanda aras simpanan sebelum ini tidak lagi realistik,” katanya.

Dr. Mohamad Idham turut menarik perhatian terhadap agihan simpanan persaraan yang tidak seimbang, di mana sebahagian kecil ahli KWSP memegang sebahagian besar jumlah dana, manakala ramai ahli lain mempunyai baki yang terlalu rendah untuk menampung perbelanjaan asas harian.

“Ketidakseimbangan ini menimbulkan kebimbangan mengenai kerentanan golongan warga tua dan potensi kebergantungan mereka kepada sistem sokongan awam pada masa hadapan,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau bersetuju bahawa langkah menggalakkan caruman sukarela yang lebih tinggi, penyediaan aliran pendapatan berasaskan anuiti, peningkatan literasi kewangan dan pelarasan peraturan pengeluaran merupakan langkah wajar ke arah yang betul.

Nilai RM1 Juta Kini Berbeza

Sementara itu, Pengasas Bersama Coreplus Advisory Sdn. Bhd., Lim Hooi Hooi, berpendapat bahawa tanda aras RM1 juta yang digunapakai sejak sekian lama perlu dilihat secara berbeza dalam situasi ekonomi hari ini.

“Apabila diagihkan bagi tempoh 20 hingga 30 tahun, RM1 juta hanya memberikan sekitar RM5,000 hingga RM6,000 sebulan. Jumlah ini sukar untuk menampung gaya hidup kelas pertengahan di kawasan bandar,” jelas beliau.

Hooi Hooi menambah bahawa inflasi telah mengurangkan nilai sebenar simpanan secara signifikan, di mana RM1 juta pada hari ini dianggarkan hanya bernilai sekitar RM700,000 berbanding nilai masa lalu.

Jelas beliau, jangka hayat yang lebih panjang memerlukan pesara bukan sahaja membiayai tempoh persaraan yang lebih lama, malah lebih tidak menentu berikutan kenaikan kos penjagaan kesihatan yang memburukkan lagi tekanan kewangan.

“Fokus kini bukan lagi sekadar mencapai angka sasaran tertentu, tetapi mempertahankan kelangsungan hidup,” kata Hooi Hooi sambil menegaskan bahawa perancangan persaraan perlu beralih daripada mengumpul jumlah simpanan pukal kepada memastikan pendapatan yang mampan selama berdekad-dekad.

Inflasi Punca Simpanan Persaraan Tidak Cukup

Pandangan sama turut disokong oleh Perancang Kewangan Bertauliah dan Konsultan Portfolio Senior, Jarvic Lau, yang mengenal pasti inflasi sebagai faktor utama yang melemahkan kecukupan simpanan persaraan, petik The Star lagi.

Menurutnya, dana RM1 juta hanya mampu bertahan selama 23 tahun dengan perbelanjaan bulanan RM5,000. Namun, jumlah tersebut hanya bertahan selama 10 tahun jika perbelanjaan bulanan bernilai RM10,000, dan terhad kepada tujuh tahun sahaja jika perbelanjaan mencecah RM15,000 sebulan.

“Anggaran ini dihitung tanpa mengambil kira perbelanjaan perubatan luar jangka yang besar atau peningkatan gaya hidup, sedangkan perkara tersebut kerap berlaku,” jelas Lau.

Sumber