Selepas 24 tahun, seorang peniaga putu buluh, Muslim Chatib, 62, bergelar jutawan segera apabila cabutan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) yang dibeli pada 1999 dipilih oleh bank berkenaan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP yang ke-95.

Dalam cabutan berkenaan, dia membawa pulang wang tunai sebanyak RM1 juta serta sebuah BMW X5 sekali gus melengkapkan pencarian 95 orang jutawan BSN SSP bagi tahun lalu, petik Harian Metro.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Muslim yang juga peniaga di pasar malam serta mengusahakan gerai makanan bersama isterinya, Noraini Said, 54, di halaman kediamannya di Jalan Santan di sini, tidak menyangka untuk memenangi cabutan bertuah tersebut.

“Saya sudah mula menyimpan dengan BSN sejak 1990 lagi dan pada masa yang sama juga, saya ada juga membeli SSP yang ditawarkan oleh bank itu sekadar untuk cuba-cuba sahaja apabila cabutan itu dijalankan, manalah tahu ada rezeki dapat hadiah.

“Sebelum ini, saya pernah jadi pemenang hadiah sagu hati daripada pihak BSN tetapi saya tidaklah pernah bermimpi untuk dipilih sebagai pemenang dalam setiap cabutan.

“Namun apabila saya mendapat tahu bahawa saya dipilih sebagai Cabutan Jutawan BSN SSP yang ke-95, saya agak terkejut dan tidak sangka ia boleh berpihak pada saya,” katanya ketika ditemubual di pekarangan kediamannya di Kampung Dagang, Jalan Santan baru-baru ini.

Tambahnya lagi, kejayaan itu juga adalah rezeki Allah SWT dan buat masa ini, dia belum mempunyai sebarang perancangan khusus untuk menggunakan wang daripada cabutan BSN SSP yang dimenanginya itu.

Pada mulanya Muslim diberitahu oleh anak sulungnya sekitar 4 Januari lalu mengenai kemenangan tersebut. Namun pada ketika itu beliau sedang berniaga di gerai ini dan tidak mengambil begitu serius kerana tiada apa bukti sahih.

“Bagaimanapun apabila pihak BSN sendiri menghubungi saya maka saya anggapkan itu adalah perkara yang benar dan saya bersyukur dengan kejayaan yang diberikan kepada kami dalam hal ini.

“Buat masa sekarang, saya dan keluarga belum ada perancangan untuk menggunakan wang berkenaan namun saya berfikir untuk membawa keluarga menunaikan umrah selepas ini jika diizinkan Allah SWT,” katanya.

Muslim yang berasal dari Sumatera, Indonesia mendirikan rumah tangga bersama Noraini pada 1987 di Kangar dan dikurniakan tiga anak perempuan berusia antara 26 hingga 36 tahun.

Selain menjadi peniaga, Muslim juga adalah seorang jurulatih taekwando bertauliah di Perlis dan banyak mengajar ilmu mempertahankan diri itu di beberapa sekolah menengah, rendah dan tadika di sini.

Terdahulu, seorang pengait buah kelapa sawit dan bakal pesara guru turut pernah memenangi cabutan bertuah BSN SSP.

Sumber