Di tengah-tengah cabaran kenaikan harga bahan mentah pada masa kini, sebuah gerai kecil di pekan Selama, Perak, tampil berbeza dengan mengekalkan harga nasi lemak pada kadar hanya 50 sen sebungkus.

Gerai yang dikenali sebagai Warung Lejen ini telah mempertahankan harga luar biasa tersebut selama hampir tiga dekad.

Orang Lain Kalut Harga Naik, Peniaga Perak Ini Kekal Jual Nasi Lemak 50 Sen
Sumber Gambar: Bernama

Keistimewaan hidangan ini bukan sekadar pada harganya, tetapi kualiti rasa yang tinggi menampilkan nasi bersantan yang harum, sambal yang seimbang manis dan pedasnya, serta dihidangkan bersama ikan bilis goreng dan sehiris telur rebus.

Popularitinya telah menarik ramai pengunjung dari luar daerah Selama yang sanggup datang semata-mata untuk menikmati juadah istimewa ini.

Tunjang utama yang membolehkan harga ini dikekalkan ialah pengorbanan pembekalnya, Othman Che Mat, 72, dari Sungai Bayor.

Bagi beliau yang telah membekalkan nasi lemak kepada Warung Lejen selama 30 tahun, keuntungan tidak pernah menjadi ukuran utama kejayaan perniagaan kecil yang diusahakan bersama isterinya.

Kepuasan sebenar buat Othman adalah apabila beliau melihat pelanggan, khususnya golongan daripada isi rumah berpendapatan rendah, masih mampu untuk bersarapan.

“Orang sering bertanya mengapa harganya sangat rendah dan sama ada saya mendapat keuntungan. Saya hanya tersenyum kerana secara jujur, margin keuntungannya sangat kecil,” jelas Othman berkongsi tentang realiti perniagaannya lapor Malay mail.

Beliau turut menerangkan struktur harganya secara terperinci, “Saya membekalkan nasi lemak kepada gerai setiap hari pada harga 40 sen sebungkus, jadi jika 100 bungkus terjual, saya hanya mendapat RM40 sebelum ditolak kos. Memandangkan gerai menjualnya pada harga 50 sen, ia hanya mendapat keuntungan 10 sen bagi setiap bungkus”.

Walaupun keuntungan bersih yang diraih hanyalah sekitar RM15 hingga RM20 sehari, Othman amat menitikberatkan kualiti pembuatannya.

Rutin harian pasangan ini bermula seawal jam 3 pagi untuk menyiapkan antara 300 hingga 500 bungkus nasi lemak sebelum dihantar ke gerai selepas solat Subuh.

Demi memastikan kualitinya terjamin, sambal dimasak sehingga tujuh jam lamanya, manakala beras dan telur dibasuh dengan sangat teliti agar nasi lemak kekal segar sepanjang hari.

Menyedari hakikat keuntungan yang kecil, Othman redha dan berkata, “Ia tidak seberapa, tetapi saya bersyukur perniagaan kecil kami masih bertahan dan memberi pendapatan kepada keluarga”.

Pemilik Warung Lejen, Ghazali Muda, 67, yang telah mengendalikan gerai tersebut selama 36 tahun, juga memainkan peranan penting dalam memastikan tradisi ini diteruskan.

Seawal jam 6 pagi, gerainya sudah sibuk dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pekerja ladang, penoreh getah, warga emas, dan pelajar sekolah.

Menurut Ghazali, impak jualan ini sangat besar kepada komuniti. “Untuk hanya 50 sen, mereka boleh menikmati sebungkus nasi lemak yang masih hangat untuk sarapan. Bagi masyarakat tempatan, nasi lemak 50 sen ini maknanya lebih daripada sekadar sarapan,” katanya.

Orang Lain Kalut Harga Naik, Peniaga Perak Ini Kekal Jual Nasi Lemak 50 Sen
Sumber Gambar: Bernama

Bagi Tanzizi Abd Aziz, 62, seorang pelanggan tetap di gerai tersebut, rasa tradisional nasi lemak itu amat sukar untuk dicari ganti pada hari ini.

“Sukar untuk mencari makanan semampu milik ini lagi. Bukan itu sahaja, nasi lemak ini sedap dan berkualiti tinggi, itulah sebabnya orang terus kembali menyokong.

Kami bersyukur dalam keadaan ekonomi hari ini yang semakin sukar, gerai yang menjual sarapan mampu milik sebegini masih wujud, terutamanya untuk keluarga besar,” luah beliau. Beliau menegaskan, “Ini (Warung Lejen) bukan sekadar gerai makanan biasa lagi – ia telah menjadi sebahagian daripada identiti kawasan ini”.

Sumber