Bintang futsal Thailand, Muhammad Osamanmusa terus melakar sejarah hebat dalam kariernya apabila menamatkan saingan UEFA Champions League (UCL) Futsal 2024/25 di kedudukan ketiga.
Ia berikutan kejayaan pasukannya, Jimbee Cartagena menundukkan kelab gergasi Portugal, Sporting CP pada aksi yang berlangsung malam tadi.
Baca Juga:
- Muhammad Osamanmusa Jadi Pemain ASEAN Pertama Jaringkan Gol Dalam UEFA Futsal Champions League
- Kekal Di Eropah, Muhammad Osamanmusa Sertai Jimbee Cartagena
- VIDEO: Gol Roket Kaki Kiri Muhammad Osamanmusa Dalam Liga Futsal Sepanyol 2023/24
Terikat 2-2 pada aksi penuh 40 minit perlawanan, Jimbee yang merupakan juara bertahan Liga Futsal Sepanyol meraih kemenangan 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Membuat penampilan pertama dalam UCL Futsal pada musim ini selepas memilih Untuk berhijrah ke Jimbee, Osamanmusa membuktikan kemampuannya dengan dua jaringan disumbangkan ketika peringkat kumpulan.
Beraksi di posisi pivot (serangan), pemain kacukan Thailand-Ghana itu sentiasa menjadi pilihan ketua jurulatih untuk membariskannya pada setiap perlawanan.
Sepanyol Cukup Sebati Buat Muhammad Osamanmusa
Muhammad Osamanmusa berkelana ke Sepanyol selepas cemerlang di Thailand dengan berbekalkan pencapaian hebat dinikmati seperti dua kali muncul juara Liga Futsal Thailand musim 2020 dan 2021/22 bersama Chonburi Bluewave serta menjulang Thai FA Futsal Cup 2017/18 ketika menyarung jersi Bangkok BTS.

Sebelum bersama Jimbee Cartagena, pemain berusia 27 tahun itu menyarung jersi Cordoba Patrimonio de la Humanidad yang turut beraksi dalam saingan Liga Futsal Sepanyol.
Kejuaraan UCL Futsal 2024/25 telah dimenangi oleh satu lagi wakil Sepanyol iaitu Palma Futsal yang muncul juara buat kali ketiga berturut-turut.