Dalam dunia bola sepak moden, kebanyakan jurulatih ternama mempunyai latar belakang sebagai pemain profesional.

Namun Mohamed Ouahbi membuktikan bahawa kejayaan di tepi padang tidak semestinya bermula dengan pengalaman bermain di atas padang.

Jurulatih Maghribi ini tidak pernah merasai karier sebagai pemain profesional, tetapi perjalanan panjangnya dalam dunia pembangunan pemain menjadikannya antara watak penting dalam kebangkitan Atlas Lions di pentas antarabangsa.

Keunikan Ouahbi bukan sekadar pada falsafah taktikalnya, tetapi juga pada kebolehan intelektual yang jarang dimiliki oleh jurulatih lain.

Beliau dikenali sebagai seorang polyglot — individu yang mampu menguasai beberapa bahasa, satu kelebihan besar dalam menguruskan bilik persalinan yang mempunyai latar belakang pemain yang pelbagai.

Latar belakang

Dilahirkan pada tahun 1976 di Schaerbeek, Belgium, Ouahbi membesar dalam persekitaran berbilang budaya. Mempunyai darah Belgium-Maghribi, beliau memahami identiti Eropah dan Afrika Utara secara mendalam.

Keupayaannya bertutur dalam beberapa bahasa termasuk Arab dan Perancis memberikan kelebihan besar ketika berkomunikasi dengan pemain Maghribi.

Dalam skuad kebangsaan moden, ramai pemain datang daripada latar diaspora Eropah seperti Perancis, Belgium, Belanda dan Sepanyol.

Keupayaan Ouahbi memahami budaya serta bahasa mereka membantu mewujudkan hubungan lebih rapat antara jurulatih dan pemain.

Bagi seorang jurulatih, komunikasi bukan sekadar menyampaikan arahan taktikal. Ia melibatkan pemahaman emosi pemain, membina kepercayaan dan memastikan setiap individu memahami peranan mereka dalam pasukan.

Karier

Ouahbi membina karier bukan dengan kasut bola di kaki, tetapi dengan papan taktikal di tangan.

Sejak menceburi dunia kejurulatihan pada 1997, beliau menghabiskan puluhan tahun mempelajari pembangunan pemain, analisis permainan dan cara membentuk pasukan yang mempunyai identiti jelas.

Perjalanan beliau bermula bersama akademi Maccabi Brussels sebelum menghabiskan masa panjang dalam sistem pembangunan Anderlecht — antara akademi paling terkenal di Belgium.

Di sana, beliau menjadi sebahagian daripada proses membentuk bakat muda sebelum mereka melangkah ke tahap profesional.

Pengalaman bekerja dengan pemain muda membentuk gaya kejurulatihan Ouahbi.

Ouahbi seorang yang obses dengan taktikal bola sepak. Beliau meluangkan masa berjam jam di pejabat untuk perkara melibatkan taktikal.

Beliau percaya pemain bukan sekadar perlu mempunyai kemampuan teknikal, tetapi mesti memahami ruang, taktikal dan mentaliti permainan moden.

Ke Maghribi

Pada 2022, beliau kembali ke tanah leluhur dengan mengambil tanggungjawab bersama pasukan bawah 20 tahun dan bawah 23 tahun Maghribi.

https://twittter.com/soy_502/status/2074323768831336602

Ini selepas pengurus Walid Regagui mengundurkan diri mengejut setelah Maghribi gagal menjuarai AFCON pada ketika itu.

Regagui mendapat tekanan kuat daripada peminat yang mempersoalkan taktikalnya dianggap terlalu berhati hati dan tidak memanfaatkan bakat yang ada dalam skuad Maghribi sebaiknya untuk bermain lebih ofensif.

Tidak lama kemudian Maghribi melantik Ouahbi sebagai pengendali baharu. Pelantikannya membuatkan ada beberapa pihak mempersoalkannya.

Hal ini kerana mereka merasakan Maghribi memerlukan pengurus elit yang ada latar belakang luar biasa dengan kelab elit. Sedangkan Ouahbi, tidak pernah menjadi pemain profesional sekalipun.

Namun Ouahbi sedia membuktikan bahawa beliau jurulatih yang bagus.

Beliau mula membina hubungan dengan generasi pemain yang menjadi sebahagian daripada masa depan Atlas Lions.

Walaupun tidak memiliki pengalaman panjang mengendalikan pasukan antarabangsa senior, pemahamannya terhadap pembangunan pemain menjadi faktor penting apabila beliau diberikan amanah lebih besar bersama skuad kebangsaan.

Di bawah kendalian Ouahbi, Maghribi tampil dengan identiti permainan yang tersusun menggabungkan penguasaan bola, kreativiti ketika menyerang serta disiplin pertahanan yang menjadi kekuatan utama mereka.

Dan Ouahbi berjaya membimbing Maghribi melepasi kumpulan yang ada Brazil, seterusnya menyingkirkan Kanada daripada peringkat 16 akhir. Sebelum itu, mereka sempat mengikat Brazil 1-1 di peringkat kumpulan.

Kini nama Ouahbi mulai meniti bibir peminat.

Menariknya, kisah Ouahbi hampir bertentangan dengan stereotaip jurulatih bola sepak. Beliau bukan bekas pemain terkenal, bukan pemenang trofi besar ketika bergelar pemain, tetapi seorang pembelajaran sepanjang hayat yang menggunakan ilmu sebagai senjata utama.

Beliau membuktikan bahawa menjadi jurulatih hebat bukan hanya tentang pengalaman berada di atas padang. Kadangkala, pemahaman permainan, kebijaksanaan mengurus manusia dan kemampuan berkomunikasi dengan pelbagai budaya lebih penting daripada sejarah sebagai pemain.

Daripada seseorang yang tidak pernah bermain bola sepak profesional, Mohamed Ouahbi kini berdiri di pentas terbesar dunia — membawa Maghribi mengejar sejarah baharu dengan ilmu, taktikal dan kecerdasan yang dimilikinya.