Situasi di atas jalan raya sememangnya penuh dengan kejutan yang tidak dijangka. Kadangkala, punca kepada sesuatu kekecohan bukanlah disebabkan oleh kecuaian manusia, tetapi hadir daripada perkara sekecil seekor ayam yang melintas jalan secara tiba-tiba.
Itulah yang berlaku dalam satu insiden di Holland Road pada 19 Februari 2024 apabila seorang pemandu kereta sewa persendirian, Tan Teng Kiat, terpaksa menekan brek bagi mengelak daripada melanggar kenderaan di hadapannya yang turut berhenti mengejut kerana seekor ayam melintas jalan.
Susulan kejadian tersebut, penumpang yang berada di dalam kenderaan Tan, Yvonne Chen Qianyun, bertindak memfailkan saman kecuaian terhadap pemandu itu dengan dakwaan insiden berkenaan telah menyebabkan dia mengalami kecederaan diri.
Bagaimanapun, dalam keputusan penghakiman pada 18 November lalu, mahkamah menolak tuntutan saman tersebut dan memerintahkan Chen membayar kos guaman sebanyak S$15,000 bersamaan RM47,778.86 dipetik dari laporan tersebut.
Punca Saman dan Hujah di Mahkamah
Dalam perbicaraan kes tersebut, Chen membina hujahnya dengan mendakwa bahawa Tan gagal mengekalkan jarak mengekori yang selamat dengan kenderaan di hadapan.
Dia mendakwa daya serta cara Tan menekan brek telah melampaui tahap yang sewajarnya untuk mengelakkan perlanggaran, sekali gus menuduh pemandu itu telah melanggar piawaian penjagaan yang sepatutnya dipatuhi.
Tan tidak menafikan bahawa dia mempunyai tanggungjawab berjaga-jaga terhadap keselamatan penumpangnya. Namun, dia menegaskan bahawa berdasarkan kelajuan kereta serta jaraknya dari kenderaan hadapan pada ketika itu, dia mempunyai ruang dan masa yang mencukupi untuk memperlahankan kenderaan.
Oleh sebab itu, dia hanya perlu menggunakan brek biasa dan bukannya brek kecemasan atau brek mengejut seperti yang didakwa.
Tukar Sasaran Saman dan Rekod Tuntutan Lain
Menariknya, hakim turut meneliti beberapa tindakan Chen sejurus selepas insiden itu berlaku. Rupa-rupanya, selepas kejadian tersebut, Chen sempat bertanya kepada Tan sama ada pemandu itu sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan di hadapan mereka.
Pertanyaan itu dibuat kerana Chen pada awalnya berniat untuk memfailkan tuntutan terhadap pemandu kenderaan hadapan tersebut dengan alasan sakit belakangnya menjadi semakin teruk secara serta-merta.
Malah, Chen juga sempat meminta Tan untuk menjadi saksinya dalam tuntutan yang dirancang itu sebelum dia akhirnya menukar fikiran mengenai pihak mana yang harus disaman.
Selain itu, mahkamah turut dimaklumkan bahawa Chen mempunyai sekurang-kurangnya dua lagi tindakan undang-undang lain yang masih menunggu perbicaraan di Mahkamah Daerah.
Kedua-dua kes tersebut juga melibatkan kemalangan jalan raya di mana Chen berada dalam situasi yang sama, iaitu sebagai penumpang.
Tidak Semua Kerugian Ada Pihak Yang Perlu Dipersalahkan
Setelah menimbang semua fakta dan keterangan yang dikemukakan, hakim berpendapat bahawa tiada apa-apa lagi tindakan yang lebih baik boleh diharapkan daripada Tan dalam situasi yang dihadapinya ketika itu.
Mahkamah mendapati daya dan cara Tan membrek tidak melebihi batas kewajaran untuk mengelakkan perlanggaran.
Walaupun hakim mengakui bahawa Chen merupakan seorang penumpang yang tidak bersalah dan tercedera dalam kejadian di luar kawalannya, beliau mengingatkan bahawa undang-undang tidak mencari pihak untuk dipersalahkan bagi setiap kerugian yang dialami seseorang.
“Dalam dunia yang tidak sempurna ini, sesetengah kerugian terpaksa ditanggung di mana ia berlaku.
Insiden ini, yang berpunca daripada seekor ayam melintas jalan, sememangnya malang, tetapi tidak diragukan lagi merupakan sebahagian daripada liku-liku kehidupan,” ujar hakim tersebut dalam penghakimannya.
Sehubungan itu, hakim memutuskan bahawa Tan tidak bertanggungjawab atas insiden berkenaan, menolak tuntutan saman Chen sepenuhnya, dan memerintahkan wanita itu membayar kos berjumlah S$15,000 kepada pemandu terbabit.