Stadium Darul Makmur bakal berwajah baharu apabila kerja-kerja menggantikan rumput padang dan menaik taraf lampu limpah akan bermula pada bulan Mei depan.

Perkembangan itu didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang menerusi laporan dalam Berita Harian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Difahamkan padang cowgrass yang terdapat di venue berkenaan akan ditukar kepada rumput jenis bermuda melalui bantuan geran yang ditawarkan oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).

Oleh sebab itu, skuad Tok Gajah tidak dapat menggunakan stadium tersebut untuk beberapa perlawanan Liga Super musim ini dan kemungkinan besar beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

“Setakat ini saya difahamkan kerajaan Pahang bersetuju Stadium Darul Makmur ditutup bagi kerja menaik taraf padang serta kemudahan lain termasuk lampu limpah.

“Pemilihan Stadium Temerloh dibuat kerana ia gelanggang kedua terbaik di Pahang.

“Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga sudah mengadakan lawatan ke Stadium Temerloh dan ia menunjukkan perkembangan positif bagi membolehkan saingan Liga Super diadakan di situ.

“Sebaik kerja menaik taraf Stadium Darul Makmur siap, Sri Pahang akan kembali beraksi di Kuantan,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

FOTO: PSDM

Stadium Temerloh mempunyai kapasiti kira-kira 10,000 penonton dan pernah digunakan sebagai gelanggang rasmi tok gajah ketika beraksi di Liga Premier musim 2012.

Sebelum ini, KBS mencadangkan agar stadium utama di setiap negeri dinaik taraf untuk memastikan padang sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan tiada air bertakung.

Hanya tiga stadium di Malaysia yang menggunakan rumput jenis bilah halus setakat ini iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Sultan Ibrahim (Zeon Zoysia) serta Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Bermuda).