ila sebut pasal pembedahan, sudah tentu setiap pesakit dan ahli keluarga menaruh harapan tinggi untuk melihat insan tersayang kembali sihat.
Namun, nasib tidak menyebelahi seorang wanita berusia 50-an di Jepun apabila niat untuk merawat ketumbuhan bertukar menjadi sebuah peristiwa yang cukup menyayat hati.
Niat Membuang Tumor Berakhir Tragedi
Memetik laporan laman asahi, kejadian ini berlaku di Hospital Universiti Kyoto pada penghujung Julai lalu. Pesakit berkenaan dijadualkan menjalani pembedahan kraniotomi, iaitu prosedur membuka tempurung kepala, bagi membuang tumor jinak (ketumbuhan sel yang tidak normal dan bukan barah) yang berada di dalam otaknya.
Bagaimanapun, sewaktu pembedahan sedang berlangsung, doktor yang mengendalikannya telah tersilap memotong bahagian otak yang sihat dan bukannya tisu tumor.
Kesilapan itu memberi kesan buruk apabila ia turut menjejaskan sebahagian batang otak, iaitu komponen yang amat kritikal bagi mengawal fungsi asas kehidupan manusia.
Kehilangan Keupayaan Bernafas Secara Sendiri
Kesan daripada kerosakan pada bahagian batang otak itu, pesakit kini dilaporkan tidak lagi mampu bernafas secara spontan dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan.
Selain itu, pesakit juga tidak mampu menggerakkan anggota kaki dan tangannya.
Sehingga kini, pihak perubatan masih belum dapat memastikan prospek pemulihan wanita berkenaan. Keadaan ini sudah pasti memberi tamparan yang sangat hebat dan menguji ketabahan ahli keluarga yang sentiasa setia menantikan keajaiban.
Pakar Berpengalaman Dan Langkah Siasatan Hospital
Apa yang menimbulkan tanda tanya, doktor lelaki berusia 40-an yang mengendalikan pembedahan tersebut bukanlah orang baharu dalam bidang ini, malah beliau mempunyai pengalaman pakar lebih daripada 20 tahun.
Dalam satu sidang media yang diadakan pada 7 haribulan, pihak pengurusan hospital tampil menjelaskan perkara sebenar kepada umum sambil mengklasifikasikan kejadian ini sebagai sebuah kemalangan perubatan yang amat serius.
Seorang wakil pengurusan hospital meluahkan rasa dukacita mereka sewaktu sesi berkenaan.
“Pihak hospital amat kesal dengan apa yang telah berlaku. Kami memandang serius kejadian ini dan memohon maaf secara mendalam kepada pesakit serta ahli keluarga.
Sebuah jawatankuasa penyiasatan khas telah ditubuhkan di dalam hospital bagi mengenalpasti punca sebenar kesilapan ini boleh berlaku,” jelas wakil berkenaan.
Penubuhan jawatankuasa khas ini bertujuan untuk meneliti setiap sudut prosedur yang dijalankan sepanjang pembedahan, sekali gus memastikan kesilapan seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Buat masa ini, tumpuan utama hospital adalah memberikan penjagaan rapi kepada pesakit serta sokongan moral kepada keluarga yang terkesan.