Jangkitan aneh, melemahkan dan sangat mudah berjangkit merebak ke seluruh populasi rusa di Barat Kanada. Chronic wasting disease (CWD) atau lebih terkenal dengan ‘wabak zombie’ ialah fenomena membimbangkan yang boleh memberi kesan ekologi dan pemuliharaan dalam masa terdekat, kata pakar.
Menurut laporan VICE World News, pakar penyakit hidupan liar serta penyelidik di Universiti Alberta, Margo Pybus mendakwa bahawa wabak ini merebak melalui rusa di padang rumput dan bahagian taman yang terdapat di sekitar Alberta serta Saskatchewan.
Difahamkan bahawa CWD bukanlah wabak baharu, ia pertama kali ditemui pada akhir 1960-an dalam satu tawanan rusa di kemudahan penyelidikan dan kemudiannya ditemui sekali lagi dikesan pada populasi rusa liar di Colorado pada tahun 1981. Sejak itu, wabak ini telah dikesan di 26 negeri dan sudah diklasifikasikan sebagai endemik di beberapa tempat.
Walaupun majoriti jangkitan telah dikesan di Alberta dan Saskatchewan, namun Manitoba melaporkan kes liar pertama yang didokumenkan pada akhir 2021.
Di Kanada, penyakit ini pertama kali muncul pada tahun 1996 di ladang rusa di Saskatchewan, kemudian merebak ke populasi liar. Alberta mengesahkan kes pertamanya pada Disember 2005 dalam rusa liar, haiwan buruan yang ditangkap berhampiran sempadan Saskatchewan, kata Pybus. CWD dikesan melalui sampel yang diberikan oleh pemburu di bawah program pengawasan pemburuan, di mana pemburu menyediakan sampel haiwan untuk pemeriksaan lanjut.
Rusa adalah perumah kepada penyakit ini. Apabila ia dijangkiti dengan penyakit ini, rusa akan menjadi lemah dan kurus. Ia juga akan kehilangan rasa takut terhadap manusia dan pemangsa lain, air liur akan keluar, jalannya tidak teratur, kemurungan, perubahan tingkah laku dan seterusnya lumpuh. Gejala ini telah menyebabkan sesetengah orang awam merujuk CWD sebagai ‘wabak zombi’ kerana penyakit ini boleh ditularkan melalui sentuhan haiwan ke haiwan, terutamanya dalam air kencing dan air liur.
Bagi Pybus, CWD adalah penyakit yang berbahaya kerana ia memerlukan masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk seekor rusa menunjukkan simptom bahawa ia menghidapi penyakit ini. Sebelum ini, rusa yang dijangkiti CWD berkelakuan dan kelihatan normal, boleh makan, bergerak, malah mampu mengawan seperti yang dilakukan oleh haiwan yang sihat. Namun dalam diam, rusa tersebut sebenarnya sedang menyebarkan wabak penyakit kepada rusa yang lain.
“Kami percaya bahawa pada peringkat awal penyakit ini memasuki kawasan baharu, [kaedah] penularan utama adalah terus, daripada satu individu yang dijangkiti [rusa] kepada individu yang tidak dijangkiti,” kata Pybus. “Tetapi semakin lama CWD berada di sesuatu kawasan dan semakin banyak rusa yang dijangkiti, anda mula melihat penumpukan prion di dalam tanah dan lama-kelamaan persekitaran mula memainkan peranan yang lebih besar dalam menjangkiti rusa.”
Pakar mendakwa bahawa pemburu dan pemakan daging rusa boleh terdedah kepada CWD, sama ada melalui pengendalian bangkai atau melalui pengambilan daging. Namun sehingga kini, tiada kes direkodkan pada manusia, tetapi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS “sangat mencadangkan” agar rusa yang diambil dari kawasan yang diketahui terdapat CWD perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum memakannya, dan jangan makan daging jika didapati positif.
“Perkara yang benar-benar membimbangkan tentang chronic wasting disease ialah kesan jangka panjangnya terhadap populasi rusa,” kata Pybus. Rusa yang dilahirkan di kawasan di mana penyakit itu sudah wujud lebih cenderung untuk dijangkiti, dan oleh itu akan mati lebih awal serta memendekkan lagi kapasiti pembiakan populasi, kata Pybus.
China bergelut, lapor dilanda wabak terbaharu selsema burung H5N1, rujuk pautan di bawah untuk membaca.
China Bergelut, Lapor Dilanda Wabak Terbaharu Selsema Burung H5N1
Doktor Di China Mati Setelah Dijangkiti Wabak Monyet, Gejalanya Hampir Sama Dengan COVID-19
G4 Dikesan Di China, Wabak Selsema Babi Jenis Baru Yang Berpotensi Jadi Pandemik