Apabila mahu melancong, sudah pasti segala persiapan perlu dilakukan dengan rapi agar semuanya akan berjalan lancar. Salah satu perkara yang sering menjadi persoalan apa kad untuk pembayaran cashless yang sesuai dibawa untuk negara yang dikunjungi.
Seorang pengguna di Facebook bernama @Muaz Aziz telah berkongsi pengalaman menggunakan beberapa kad debit dan kredit sepanjang mengembara di Asia Tenggara dan Eropah.
Baca Juga:
- Usia Bukan Penghalang Nenek Berusia 90 Tahun Ini ‘Travel Solo’ Ke Seluruh Dunia
- 10 Tips Dan Trik Agar Tidak Tersalah Pilih Rakan Travel
- Pasangan Ini Kongsi Tip Travel Bersama Bayi Ke Jepun Melalui Video Yang Menarik
Beliau juga memaklumkan kini lebih selesa membuat pembayaran secara cashless apabila pergi ke Eropah. Terdapat empat kad untuk pembayaran cashless yang telah dicuba ketika melancong termasuklah kad kredit, BigPay, MAE dan Wise.
4 kad yang digunakan semasa melancong
Kad Kredit
Kad kredit ini memang wajib dimiliki sewaktu mahu melancong lebih-lebih lagi yang mahu menempah kereta sewa. Boleh dikatakan hampir semua syarikat kereta sewa memerlukan kad kredit untuk mengambil sekuriti deposit.
BigPay
Kemudian, BigPay pula merupakan kad kegemaran beliau untuk kegunaan seharian namun tidak lagi semenjak ada perubahan caj dan pertukaran harga matawang yang tidak menarik seperti dahulu.
MAE
Walaupun rekaannya tampak menarik, kad ini sering ditolak oleh luar negara selepas Maybank mengalami masalah kebelakangan ini. Difahamkan kadar pertukaran matawang pula tidak begitu konsisten. Beliau memaklumkan terkadang kadar pertukaran matawang seakan BigPay namun kadangkala leibh tinggi.
Wise
Setakat ini, kad Wise memberikan pelbagai kelebihan yang dapat memudahkan urusan pembayaran di luar negara dan terjamin keselamatannya. Malah, kad ini juga tampil lebih mesra pengguna.
Beliau mengulas lanjut akan kelebihan penggunaan kad Wise sewaktu melancong ke luar negara di samping menyarankan orang ramai untuk mendapatkannya.
1. Wise ini berfungsi seperti kad debit. Jadi, anda hanya boleh berbelanja jika mempunyai baki wang di dalam akaun.
2. Anda boleh mengunci harga (beli) matawang ketika murah. Kalau anda melancong lagi dua bulan pun masih dapat kadar matawang sewaktu murah.
3. Memandangkan Wise bukanlah kad kredit, maka anda yang mempunyai masalah tidak boleh mengawal diri sewaktu berbelanja sangat sesuai mendapatkan kad ini. Hal ini kerana boleh mengelakkan masalah berbelanja lebih atau dikenakan caj faedah jika kalau terlambat bayar.
4. Walaupun ia macam kad debit, anda tidak perlu risau tentang yuran tahunan sebab percuma.
5. Sekuriti dinaik taraf menjadikan sekuriti dalam Wise antara yang terbaik. Anda boleh membekukan atau mencairkan akaun pada bila-bila masa menerusi aplikasi sahaja. Bahkan, disediakan tiga kad virtual untuk kegunaan sementara di negara yang dilawati dan boleh dipadamkan sebaik pulang ke negara asal.
6. Akhir sekali, percuma dua kali pengeluaran wang di ATM dan tidak melebih RM1,000 setiap bulan. Jika melebihi dua kali atau jumlah RM1,000, barulah anda dikenakan caj tambahan tetapi lebih rendah daripada bank lain.
Bagaimanapun, kad Wise masih mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diketahui.
1. Anda hanya boleh melakukan tambah nilai secara online di aplikasi Wise dan tidak boleh menggunakan kad kredit.
2. Tiada fasiliti kredit yang mana anda hanya boleh membelanjakan wang mengikut baki masing-masing.
Beliau juga mengingatkan orang ramai agar memohon kad Wise dua minggu lebih awal sebelum melancong ke sesuatu negara dan pastikan dalam akaun Wise memiliki wang sekurang-kurangnya RM101.
Hal ini kerana penghantaran kad fizikal mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu. Wang yang sudah didepositkan di dalam akaun pula boleh digunakan selepas itu.
Diharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam membuat pemilihan kad yang bersesuaian untuk urusan pembayaran di negara yang dikunjungi.
Penawaran kad seumpama ini sememangnya lebih mudah dan terjamin selamat kerana tidak perlu memegang wang tunai jumlah yang besar sepanjang masa.