Seorang pempengaruh media sosial yang terkenal dengan kandungan berunsur paranormal akhirnya ditemui dalam keadaan lemah di sebuah tandas awam berdekatan kawasan Skytrex Adventure Melaka, Taman Botanikal, di sini, petang tadi selepas dilaporkan hilang sejak dua hari lalu.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun itu ditemui oleh orang awam pada jam 3.03 petang, petik Harian Metro.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kes kehilangan mangsa pada jam 12.18 tengah hari.

“Susulan laporan tersebut, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bersama kekuatan tujuh anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian dalam tempoh kurang satu minit kemudian.

“Anggota bomba yang terlibat telah melancarkan operasi pencarian di kawasan sebuah resort serta sekitar kawasan Taman Botanikal. Operasi ini turut disertai oleh anggota polis dan kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Hafidzatullah, mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak bermaya itu telah dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kronologi Kehilangan Semasa ‘Live’

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas mengesahkan mangsa dilaporkan sedang membuat siaran langsung (live) berkaitan kandungan paranormal di sebuah resort pada jam 8.30 malam, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, siaran langsung berkenaan dilaporkan terputus secara tiba-tiba sekitar jam 9.00 malam hari yang sama.

“Rakan mangsa ada cuba menghubungi lelaki itu dan menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp, namun tiada sebarang jawapan diterima sebelum keputusan dibuat untuk membuat laporan polis mengenai kehilangannya,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Amaran ‘Krisis Dalam Krisis’

Sementara itu, JBPM mengingatkan orang ramai dan kumpulan sukarelawan agar segera melaporkan sebarang kes kecemasan atau kes orang hilang kepada pihak berkuasa menerusi talian kecemasan NG999 dengan kadar segera.

Mohd Hafidzatullah menegaskan bahawa JBPM merupakan peneraju utama dalam aspek penyelamatan di dalam negara seperti yang termaktub di bawah arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tindakan melulu oleh orang awam yang cuba mengendalikan operasi mencari dan menyelamat secara sendirian boleh mengundang implikasi undang-undang serta risiko keselamatan, yang boleh dikategorikan sebagai ‘krisis dalam krisis’.