Berakhirnya aksi peringkat kumpulan B malam tadi menyaksikan slot dua lagi pasukan ke separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026 sudah pun diketahui.
Thailand memastikan mereka mara selaku juara kumpulan B selepas menundukkan Myanmar 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Menarik untuk diperkatakan apabila selain daripada meraih rekod kemenangan bersih, skuad kendalian Anthony Hudson itu turut berjaya menjaringkan 10 gol dan langsung tidak dibolosi sepanjang kempen peringkat kumpulan.
Slot selaku pasukan tangga kedua menjadi milik Malaysia selepas kejayaan menundukkan Filipina 1-0 pada aksi di Cheras malam tadi.
Jaringan tunggal pemain muda, G. Pavithran itu sudah cukup untuk skuad negara memperbaiki pencapaian edisi lalu dimana Malaysia tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan.
Sementara itu slot bagi kumpulan A pula diisi Vietnam selaku juara kumpulan dan diikuti Singapura.
Vietnam yang merupakan juara bertahan menepati ramalan dengan menamatkan saingan kumpulan dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
Manakala Singapura boleh dikatakan melakukan kejutan selepas kejayaan mengikat Indonesia 1-1 pada aksi terakhir membolehkan skuad kendalian Gavin Lee itu mara ke separuh akhir sekali gus meranapkan impian besar skuad Garuda itu untuk menamatkan penantian panjang muncul juara kejohanan ini.
Aksi Separuh Akhir
Dengan kedudukan akhir sudah pun diketahui, Vietnam akan bertemu Malaysia dengan perlawanan separuh akhir pertama bakal berlangsung pada 16 Ogos nanti dan berkemungkinan sekali lagi Cheras akan menjadi pilihan. Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Hanoi pada 19 Ogos.
Singapura pula akan melayani kunjungan Thailand pada 15 Ogos di Stadium Jalan Besar. Aksi kedua di Bangkok dijadualkan berlangsung pada 18 Ogos.