Setiap kali taktik lama terbongkar, scammer tidak akan berdiam diri dan akan upgrade taktik penipuan mereka supaya dapat terus memperdayakan mangsa.
Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan taktik terbaharu sindiket penipuan yang menghantar emel kepada orang ramai yang kononnya dikenakan kompaun dan saman lalu lintas.
Baca Juga:
- Wanita Ini Bongkar Kegiatan Scammer Menjual Tiket Konsert Artis Popular Di Media Sosial
- Kongsi Gambar ‘Orang Tersayang’ Diculik Dan Minta Tebusan, Ini Taktik Terbaru Scammer Yang Tular
- Disangka Kad Kahwin Digital, Ini Taktik Terbaru Scammer Guna APK Untuk Pancing Data Pengguna
Memetik Buletin TV3, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata taktik itu dilakukan secara meluas membabitkan emel individu dan dengan menggunakan logo rasmi PDRM bagi memperdaya masyarakat.
“Halaman itu memaparkan notifikasi bahawa individu terbabit memiliki saman di bawah kesalahan lalu lintas yang tertunggak dan perlu dijelaskan segera.
Emel itu juga mendakwa sekiranya ‘saman’ itu tidak dijelaskan, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata emel itu turut meminta pengguna membayar sejumlah wang secara dalam talian atau kandungan melalui pautan disediakan — tiada sebarang transaksi pembayaran daripada pihak polis dilakukan melalui emel seumpama itu.
Sehubungan itu, Mohd Nasri menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket penipuan tersebut.