Pasangan negara, Pearly Tan-M. Thinaah meraih kejuaraan sulung pada tahun 2024 selepas berjaya mengungguli Kejohanan Terbuka Hong Kong yang berlangsung di Kowloon, sebentar tadi.

Lawan yang ditundukkan pasangan negara ini secara ‘staight set’ pada perlawanan akhir sebentar tadi ialah pilihan kedua kejohanan dari China iaitu Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Baca Juga:

Lebih manis, kemenangan yang dilakarkan Pearly-Thinaah itu turut menamatkan rentetan kekalahan empat perlawanan berturut-turut mereka ke atas lawan tersebut pada tahun ini.

Ketika saingan sengit dijangkakan berlaku pada perlawanan ini, Pearly dan Thinaah mempamerkan aksi kemas untuk memberikan kesukaran buat Sheng Shu-Tan Ning meskipun lawan merupakan pasangan ranking ketiga dunia.

Selepas mendahului 11-10 pada rehat ‘interval’, gandingan nombor satu negara itu terus beraksi cemerlang untuk memenangi set pertama dengan jurang mata 21-14.

Momentum cemerlang itu diteruskan anak buah Hoon Thien How tersebut yang kemudiannya memperkemaskan lagi aksi untuk meninggalkan lawan 11-4.

Tidak mahu sekali lagi gagal di pentas final, Pearly Tan-M. Thinaah memastikan kejuaraan Terbuka Hong Kong 2024 menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-14.

Kejayaan tersebut menyaksikan Pearly dan Thinaah bakal membawa pulang wang tunai bernilai 33,180.00 (RM142,709.86).

Sejak mempamerkan aksi bertenaga ketika Sukan Olimpik tempoh hari, pasangan negara ini semakin menunjukkan peningkatan apabila turut mara ke pentas final Terbuka Korea Selatan tetapi mereka dikecewakan wakil tuan rumah untuk muncul naib juara.